Anwar bertemu PM Pakistan dan Menteri Luar Turkiye

Anwar bertemu PM Pakistan dan Menteri Luar Turkiye

RIYADH,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di luar mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini pada Isnin.

Pertemuan hampir setengah jam itu menyaksikan kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan Putrajaya-Islamabad sekali gus melonjakkan lagi perdagangan dua hala ke peringkat lebih tinggi.

Perbincangan juga tertumpu kepada usaha meneroka peluang pelaburan serta kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, halal, pendidikan, pertahanan, pelancongan dan sumber manusia.

Terdahulu, Anwar turut menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan.

Pada pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu geopolitik semasa di Asia Barat dan kekejaman Israel di Gaza.

Turut dibincang kerjasama dua hala Malaysia dan Turkiye terutama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pertahanan serta pendidikan.

Mesyuarat khas WEF, yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad, adalah bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’ serta dihadiri lebih 1,000 peserta termasuk ketua-ketua negara dan kerajaan selain pemimpin perniagaan dan industri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )