Arsenal hidup peluang ke Liga Europa

Arsenal hidup peluang ke Liga Europa

LONDON,. Arsenal menghidupkan kembali peluang untuk layak ke saingan Eropah selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Pada aksi di St Mary itu, Eddie Nketiah menghukum kesilapan dilakukan penjaga gol Southampton, Alex McCarthy yang gagal mengeluarkan bola dari zon bahaya untuk membuka tirai jaringan buat The Gunners pada minit ke-20.

Joe Willock melengkapkan kemenangan pasukan itu apabila meledak gol kedua pada minit ke-87, beberapa minit selepas Jack Stephens dilayangkan kad merah kerana mengasari Pierre-Emerick Aubameyang.

Skuad kendalian Mikel Arteta sebelum ini mengalami dua kekalahan berturut-turut sebaik saingan kembali bersambung selepas ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Situasi itu menyaksikan pintu buat mereka untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara sudah tertutup selain mencetuskan kritikan terhadap keputusan Arteta kerana menawarkan kontrak baharu kepada David Luiz dan Cedric Soares biarpun kedua-dua pemain berkenaan bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Bagaimanapun, kemenangan di St Mary melonjakkan kedudukan Arsenal ke tangga kesembilan liga dan masih di landasan untuk memburu slot ke saingan Liga Europa.

“Ia adalah kemenangan penting buat kami. Kami berdepan dua minggu yang sukar dan banyak perkara yang berlaku ke atas kami.

“Saya bimbang kerana selepas kekalahan ke atas Brighton yang mana kami tewas biarpun mendahului perlawanan akan melunturkan semangat pemain,” kata Arteta. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )