
Arsenal perlu berbelanja besar
LONDON,. Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata tiada apa yang boleh dilakukannya untuk mengurangkan jurang dengan Liverpool musim depan tanpa dana untuk perpindahan utama selepas menewaskan juara Liga Perdana itu 2-1 awal pagi tadi.
Walaupun tewas, skuad Reds masih memiliki kelebihan 40 mata berbanding pasukan kesembilan, Gunners, yang berada di landasan tepat untuk kedudukan paling teruk liga sejak musim 1994/95.
Arteta sudah memperbaiki skuad miliknya sejak menerima jawatan itu pada Disember dan percaya perwatakan skuadnya kini boleh menyamai keinginan Liverpool walaupun bukan dalam aspek kualiti.
“Jurangnya amat besar tetapi dalam banyak aspek, jurang itu tidak boleh diperbaiki dalam dua bulan,” kata Arteta kepada Sky Sports.
“Tapi jurang antara tanggungjawab, tenaga, komitmen dan semangat juang antara dua pasukan kini sama dan sebelum ini ia tidak seperti ini.
“Selebihnya perlukan masa, tapi sekurang-kurangnya kami sudah memilikinya ketika ini dan mesej saya kepada pemain, dengannya kita boleh mencipta sesuatu.”
Arteta dijangka tidak akan diberikan dana yang besar untuk pasaran perpindahan pemain dengan Arsenal dijangka akan sekali lagi terlepas Liga Juara-Juara untuk musim keempat berturut-turut.
“Ia kebimbangan besar,” katanya ketika ditanya mengenai wang yang boleh diterimanya penamat musim. “Anda pasti tahu bagaimana untuk membina skuad seperti itu, tiada majis.” – AFP