
Arteta terdesak kekalkan Aubameyang di Arsenal
LONDON,. Mikel Arteta terdesak untuk terus mengikat Pierre-Emerick Aubameyang di Arsenal “walau apa cara sekalipun”, sambil berkata kelab perlu berbincang dengan kapten pasukan itu sebelum penamat musim.
Pemain berusia 30 tahun itu menjaringkan 20 gol dalam semua kejohanan buat Gunners setakat musim ini, dua kali ganda jumlah dijaringkan rakan sepasukan.
Minggu lalu Arteta berkata, Aubameyang yang kontraknya akan tamat pada penghujung kempen the 2020/21, perlu dilihat sebagai bakat kelas dunia walaupun kurang menang kejuaraan di Stadium Emirates.
Ketika sebahagian kelab elit Eropah dilaporkan berminat, Arsenal berazam mengikat tonggak utama pasukan itu menerusi kontrak baharu bagi mengelak dia meninggalkan kelab sebagai ejen bebas sama seperti Aaron Ramsey tahun lalu.
Arteta menggesa rundingan itu dilakukan lebih awal bagi memastikan mereka akan terus bersama penyerang Gabon itu.
“Kami perlu juga melakukannya pada satu tahap sebelum penamat musim dan kami akan lihat minat yang kami ada serta minatnya juga,” kata Arteta, hari ini.
“Di mana kami berada (dalam kedudukan Liga Perdana) pada ketika itu, saya rasa sukar untuk meramal dalam konteks itu ketika ini. Bagi saya ia mudah. Saya mahu kekalkan dia walau apa cara sekalipun.”
Mara ke Liga Juara-Juara dilihat satu daripada cara untuk menguatkan peluang Arsenal mengekalkan khidmat Aubameyang. – AFP