MANILA,. ASEAN perlu menyokong pelan integrasi ekonominya dengan menetapkan sasaran pencapaian yang jelas serta memastikan pelaksanaan yang konsisten
MANILA,. ASEAN perlu menyokong pelan integrasi ekonominya dengan menetapkan sasaran pencapaian yang jelas serta memastikan pelaksanaan yang konsisten bagi memberikan manfaat kepada perniagaan, pengguna dan pekerja, kata Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina Cristina Roque.
Beliau berkata Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 memerlukan penyelarasan yang berkesan, manakala hasil ekonomi keutamaan yang masih belum dicapai di bawah kepengerusian Filipina perlu disempurnakan dan usaha berkaitan diteruskan selepas tahun ini.
“Ukuran sebenar kejayaan pelan ini bukanlah pada jumlah komitmen yang kita buat, tetapi nilai tambah yang diberikan kepada setiap perniagaan, pengguna, pekerja dan komuniti.
“Matlamat usaha kita adalah untuk memastikan integrasi ekonomi membawa makna dalam kehidupan rakyat. Setiap komitmen yang kita usahakan seharusnya membantu mencipta peluang, memperkukuh mata pencarian dan membina keyakinan terhadap masa depan bersama,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Majlis AEC ke-28 di sini pada Sabtu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut menghadiri mesyuarat itu.
Roque menggariskan tiga keutamaan dalam perbincangan majlis berkenaan, iaitu menilai hasil ekonomi keutamaan Filipina, memajukan pelaksanaan Pelan Strategik AEC 2026-2030 serta memuktamadkan laporan dan hasil bagi Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang.
Beliau berkata mesyuarat terakhir majlis itu di bawah kepengerusian Filipina memberi peluang untuk menilai kemajuan, mengenal pasti perkara yang masih belum diselesaikan dan mencapai persetujuan mengenai langkah seterusnya.
“Semasa kita memuktamadkan laporan dan hasil bagi sidang kemuncak itu, marilah kita memberikan gambaran yang jelas kepada pemimpin kita mengenai kedudukan ASEAN ketika ini, cabaran yang perlu ditangani dan peluang yang perlu kita manfaat bersama,” katanya.
Roque turut mengucapkan terima kasih kepada negara anggota, badan sektoral ASEAN dan Sekretariat ASEAN atas kerjasama sepanjang tahun ini, termasuk kesediaan mereka mencari titik persamaan dalam usaha memajukan integrasi ekonomi serantau.
Mesyuarat itu berlangsung menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 17 Nov di Manila, di bawah tema kepengerusian Filipina, “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”.
— BERNAMA

