
Atletico, Espanyol potong gaji pemain, kakitangan
MADRID,. Atletico Madrid antara kelab La Liga terkini yang memohon kebenaran pihak jabatan buruh untuk memotong gaji pemain dan kakitangan mereka ketika bola sepak Sepanyol ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif kelab Angel Gil berkata, mereka terpaksa mencadangkan pelan pemberhentian untuk sebahagian pekerja, yang disebabkan darurat di negara itu, tidak dapat menjalankan tugas mereka.
Atletico, seperti kelab-kelab lain, bakal menerima impak kewangan akibat penangguhan liga di Sepanyol, salah sebuah negara yang teruk dilanda pandemik berkenaan.
Gil bagaimanapun tidak memberi butiran berkenaan jumlah gaji yang akan dipotong, tetapi mengesahkan langkah itu membabitkan pemain dan kakitangan.
Sebelum itu kelab bawahan La Liga Espanyol meminta jabatan buruh di Catalunya membenarkan mereka memotong gaji pemain dan kakitangan sehingga 70 peratus.
Menurut Espanyol cadangan pemotongan itu membabitkan pemain-pemain dan jurulatih skuad utama lelaki dan wanita, skuad Espanyol B serta pasukan remaja, dan perlu dilakukan dengan kadar segera.
Seteru Catalunya, Barcelona Khamis lalu mengumumkan mereka juga akan memotong gaji – walaupun tidak menyebut secara khusus mereka yang terbabit – bagi membendung impak kewangan ke atas kelab.
Di Jerman, pemain-pemain Bayern Munich dan Borussia Dortmund akur dengan pemotongan gaji masing-masing.
Langkah berkenaan menimbulkan kerisauan kesatuan pemain-pemain profesional Fifpro.
“Kami amat risau apabila kelab-kelab di beberapa negara, mula melepaskan pemain atau memotong gaji mereka,” kata Fifpro yang menuntut kelab-kelab mencari penyelesaian terbaik. – AFP