Ayuh kita akhiri krisis Rohingya sekarang, kata Dr Mahathir

NEW YORK,. Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat seruan yang tegas kepada komuniti antarabangsa supaya meletakkan krisis Rohingya tepat pada radarnya dengan tujuan bagi menyelesaikannya sekarang.

Bercakap dalam penampilan pertama sejak tiba di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74, beliau berkata adalah jelas kerajaan Myanmar tidak bersedia untuk mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan krisis itu.

“Sehubungan itu, terpulanglah kepada kita – masyarakat antarabangsa, untuk melakukan sesuatu mengenai situasi ini,” kata Dr Mahathir pada acara sampingan peringkat tinggi mengenai ‘Krisis Rohingya – Menuju Ke Hadapan’ yang berlangsung di ibu pejabat PBB di sini Selasa.

Sebagai permulaan, beliau berkata PBB perlu memainkan peranannya, dengan mengambil kira ia diwujudkan dengan harapan dapat menghalang kesengsaraan perbuatan manusia di masa hadapan.

“Tetapi tindakan membisu (berhubung isu Rohingya) ini adalah memekakkan telinga,” katanya, kepada badan dunia itu yang akan mengadakan perhimpunan tahunan minggu ini.

Dr Mahathir juga tidak menyembunyikan kata-katanya mengenai apa yang berlaku di negeri Rakhine barat Myanmar di mana komuniti etnik Muslim Rohingya melarikan diri beramai-ramai untuk mencari perlindungan dan keselamatan diri..

“Marilah kita mulakan dengan bercakap yang benar.Apa yang berlaku di negeri Rakhine ialah pembunuhan beramai-ramai, perkosaan secara sistematik dan lain-lain pencabulan hak asasi manusia, “katanya pada majlis itu yang turut dihadiri rakan sejawatan dari Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed.

Dr Mahathir berkata ini menyebabkan etnik Rohingya melarikan diri dari negara itu secara beramai-ramai, dan paling banyak berakhir di Cox’s Bazar di Bangladesh.

“Berhubung perkara ini, kami memuji Bangladesh untuk semua yang dilakukannya, dalam menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya,” kata Dr Mahathir sambil menambah, Malaysia pada pihaknya juga berusaha untuk melakukan apa sahaja yang boleh.

Selain menghulurkan bantuan kemanusiaan, Malaysia turut mengendalikan hospital lapangan di Cox’s Bazar serta turut membenarkan penempatan hampir 100,000 pelarian Rohingya berdaftar, dan ramai lagi yang tidak berdaftar.

“Walaupun bilangan ini kecil jika dibandingkan Bangladesh, banyak sumber yang didedikasikan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang baik sementara menanti penempatan semula di negara ketiga. Kami akan terus membantu Rohingya berdasarkan keupayaan dan kemampuan kami,” janji beliau.

Dalam mesejnya kepada negara lain, Dr Mahathir berkata: “Kami berharap negara lain akan turut menyertai kami dan Bangladesh dalam usaha kami untuk menamatkan kesengsaraan yang menimpa etnik Rohingya. Kita harus menghentikan krisis ini dan kita harus lakukan sekarang.”

Perdana menteri juga turut menegaskan lebih lama pelarian itu tinggal di kem sementara, keadaan mereka akan semakin terdesak.

“Oleh kerana itu, pelarian terdedah kepada sebarang bentuk eksploitasi. Mereka menjadi sasaran jenayah rentas sempasan seperti pemerdagangan orang dan hamba seks, antara lainnya. Dalam perkataan lain, mereka hanya dapat melihat masa depan yang suram,” kata perdana menteri.

Situasi di Myanmar, beliau berkata tidak jauh bezanya kerana ramai Rohingya yang ditempatkan di kem pelarian dalaman (IDP) di Rakhine.

— BERNAMA

Oleh Abdul Muin Majid

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )