Bacaan Yasin dan tahlil penutup majlis memperingati Tun Dr Ismail

Bacaan Yasin dan tahlil penutup majlis memperingati Tun Dr Ismail

KUALA LUMPUR,. Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena memperingati negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman di Masjid Negara di sini malam tadi.

Majlis itu dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan lebih 50 warga kementerian berkenaan.

Turut hadir ahli keluarga Allahyarham Dr Ismail antaranya anak sulung beliau, Tawfik Ismail.

Bacaan Yasin dan tahlil yang bermula selepas solat Maghrib itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara anjuran KKD berlangsung di Dataran Merdeka semalam dari 9 pagi hingga 4 petang.

Ia dianjurkan bagi mendidik generasi muda mengenai sumbangan tokoh itu dalam membangunkan negara ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Dr Ismail, Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dari 1971 hingga 1973, adalah antara tokoh penting yang menggariskan lima prinsip Rukun Negara ketika Malaysia berhadapan dengan peristiwa hitam 13 Mei 1969.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )