BAM kenal pasti calon jurulatih baharu – Rexy

BAM kenal pasti calon jurulatih baharu – Rexy

KUALA LUMPUR,. Calon jurulatih baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan jurulatih beregu lelaki Flandy Limpele dan jurulatih beregu campuran Paulus Firman, telah dikenal pasti, kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky.

Beliau berkata mereka terdiri daripada calon tempatan dan luar negara.

Diminta memberikan bayangan calon yang mempunyai potensi tinggi dipilih, beliau dengan ringkas berkata: “beliau pernah jadi pemain”, namun enggan mengulas lanjut.

“Buat masa ini, perkembangan sangat positif tetapi masih ada perkara perlu dibincangkan lagi. Setakat ini kita sedang menilai jurulatih dari luar negara, tetapi saya ada juga beritahu Datuk Kenny Goh (Setiausaha Agung BAM) mengenai jurulatih tempatan, namun segala keputusan terpulang kepada mereka,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Pada 1 April lepas, Flandy membuat keputusan mengejutkan meninggalkan BAM apabila tidak mahu menyambung kontrak baru selepas dua tahun menabur bakti di negara ini, manakala sebulan kemudian Paulus pula meletakkan jawatan kerana ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Rexy bagaimanapun memberi komitmen bahawa pemilihan tidak akan dibuat secara terburu-buru supaya dapat mencari jurulatih terbaik untuk mengemudi pasukan.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa kerana tidak senang mendapat jurulatih yang berkualiti dan tidak akan mengambil individu (sesuka hati) untuk mengisi tempat kosong, tetapi tidak mendapat keputusan seperti yang kita harapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Rexy berkata pemain beregu lelaki negara Aaron Chia tidak berada pada tahap terbaiknya, ketika tewas kepada pasangan dari China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di separuh akhir Terbuka Indonesia, Sabtu lepas.

“Bagi saya, mereka (Aaron Chia-Soh Wooi Yik) mampu menang dengan China, tetapi saya terkejut dengan prestasi Aaron dalam separuh akhir, tidak sama dengan Wooi Yik apabila beliau tidak ikut rentak permainan Wooi Yik yang bermain dengan baik.

“Kebiasaannya pergerakan Aaron pada bola depan jaring baik tetapi hari itu terkeluar, kesilapan pukul keluar dan saya tengok seperti ada yang tidak kena dengan beliau (Aaron). Oleh itu, saya sedang latih mereka untuk fikir dalam lapangan, kalau mahu serang perlu fikiran yang sama,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)