BAM nafi dakwaan pemain Israel dibenar beraksi di Terbuka Malaysia

BAM nafi dakwaan pemain Israel dibenar beraksi di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR,. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menepis dakwaan yang tular di media sosial bahawa pemain Israel dibenarkan beraksi pada kejohanan Terbuka Malaysia 2021.

Menjawab soalan netizen di laman Facebook dan Twitter rasmi badan induk itu, BAM memaklumkan bahawa entri pemain seperti yang tular tidak pernah diluluskan oleh persatuan berkenaan.

“Tidak benar. Untuk pengetahuan, entri pemain-pemain ini tidak pernah diluluskan sejajar dengan dasar negara kita.

Terdahulu, tular di media sosial pasangan beregu campuran ibu-anak dari Israel, Misha Zilberman, 32, dan Svetlana Zilberman, 63, bakal menyertai Terbuka Malaysia, yang sebelum ini merupakan antara kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini.

Menurut tangkap layar laman sesawang BWF yang ditularkan, pasangan nombor 141 dunia itu diundi menentang pasangan nombor tiga dunia Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China pada pusingan pertama.

Kejohanan yang dijadualkan dari 25 hingga 30 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil itu bagaimanapun ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia dan tidak lagi merupakan kejohanan menawarkan mata ke Olimpik.

Difahamkan, BAM telah menolak permohonan pasangan itu yang dibuat menerusi sebuah kelab pada bulan lepas kerana bertentangan dengan dasar negara tiada hubungan diplomatik dengan Israel.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini dibatalkan hak untuk menganjurkan Kongres FIFA 2017, yang turut menyaksikan pengundian tuan rumah Piala Dunia 2026 kerana tiada jaminan untuk mendapatkan visa perjalanan bagi delegasi dari Israel.

Pada awal 2019, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pula melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan di Kuching, Sarawak dari 29 Julai hingga 4 Ogos tahun sama kerana kerajaan Malaysia gagal memberi jaminan kepada perenang Israel.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang turut menafikan perkara itu menyatakan: “KBS tidak pernah dan tidak akan memberi sebarang kelulusan penyertaan warganegara Israel” dalam sebarang kejohanan sukan termasuk Terbuka Malaysia 2021 yang ditangguh itu.

Kenyataan KBS menyebut bahawa BAM sedia maklum mengenai perkara itu serta ia telah disampaikan kepada BWF dan undian yang dikeluarkan di laman sesawang BWF tidak pernah diluluskan oleh BAM mahupun KBS untuk tujuan kemasukan ke Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ia merupakan syarat yang telah lama terpakai selari dengan dasar luar negara.

“Saya juga sentiasa mengingatkan bahawa semua kelulusan penganjuran kejohanan sukan antarabangsa oleh KBS melalui Pesuruhjaya Sukan adalah tertakluk kepada dasar luar negara, ini termasuklah larangan penyertaan atau penglibatan dari negara Israel tanpa sebarang kompromi,” menurutnya dalam kenyataan sama.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )