Banjir: 62 mangsa dipindahkan di daerah Kubang Pasu

Banjir: 62 mangsa dipindahkan di daerah Kubang Pasu

ALOR SETAR,. Seramai 62 mangsa dari empat buah kampung di daerah Kubang Pasu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Malau selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang, semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu Leftenan (PA) Norazian Shamsudin berkata kesemua mangsa banjir daripada 15 keluarga itu dipindahkan selepas air mula naik pada pukul 7.30 malam.

“Empat kampung di Mukim Malau itu melibatkan mangsa yang berumur antara tiga hingga 83 tahun dari Kampung Lahar, Kampung Paya Tok Kiong, Kampung Paya Tok Teh dan Kampung Biak.

“Proses pemindahan kesemua mangsa ke PPS yang bermula pukul 8 malam itu selesai pada pukul 2 pagi. Bacaan paras air sehingga 8 pagi ini telah naik sehingga dua meter dengan arus yang kuat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata buat masa ini Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain untuk mengumpul maklumat mangsa banjir.

Sementara itu, katanya PPS Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol juga di Kubang Pasu yang sebelum ini menempatkan seramai lapan mangsa dari dua keluarga telah ditutup pukul 6 petang semalam selepas semua mangsa dibenarkan pulang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )