BANJIR THAILAND JEJAS 2.6 JUTA PENDUDUK, 22 TERKORBAN

HomeFeaturedBerita Semasa

BANJIR THAILAND JEJAS 2.6 JUTA PENDUDUK, 22 TERKORBAN

BANGKOK,. Lebih 2.6 juta penduduk membabitkan 940,000 isi rumah terjejas akibat banjir meluas yang melanda 29 wilayah dan Bangkok sejak pertengahan Se

FIFA sifatkan pertemuan dengan FA Iran positif menjelang Piala Dunia
Kemudahan WCFC tingkat keupayaan UMT dalam bidang penyelidikan marin, maritim
BRICS lancar platform digital bagi kerjasama grid pintar dan penyimpanan tenaga

BANGKOK,. Lebih 2.6 juta penduduk membabitkan 940,000 isi rumah terjejas akibat banjir meluas yang melanda 29 wilayah dan Bangkok sejak pertengahan September.

Banjir itu turut mengorbankan 22 nyawa setakat ini, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) dalam kenyataan pada Selasa.

Ketua Pengarah DDPM Teerapat Khachamat berkata banjir yang dicetuskan hujan lebat hingga sangat lebat serta aliran air dari wilayah utara ke wilayah tengah itu menjejaskan 167 daerah, 890 mukim dan 5,077 kampung setakat 6 pagi Selasa.

Bangkok merekodkan jumlah isi rumah terjejas tertinggi iaitu 329,000, diikuti Samut Prakan dengan 260,784, Chon Buri (118,723), Pathum Thani (113,323), Phra Nakhon Si Ayutthaya (28,176) dan Chachoengsao (19,346).

“Sebanyak 22 kematian direkodkan di Samut Prakan (lapan), Sa Kaeo (enam), Bangkok (empat), Chanthaburi (dua), Saraburi (satu) dan Phra Nakhon Si Ayutthaya (satu),” katanya.

Teerapat berkata paras air masih meningkat di beberapa wilayah termasuk Tak, Nakhon Sawan, Chai Nat, Sing Buri, Suphan Buri, Phra Nakhon Si Ayutthaya, Pathum Thani, Nakhon Nayok, Prachin Buri, Chachoengsao, Sa Kaeo dan Chon Buri.

Beliau berkata DDPM sedang memantau dengan teliti keadaan cuaca dan paras air serta mengarahkan pejabat wilayah mempercepat penyaluran bantuan selain mengerahkan anggota dan jentera tindak balas bencana ke kawasan terjejas.

“Di kawasan yang keadaannya mula bertambah baik, pihak berkuasa diarahkan mempercepat penilaian kerosakan dan usaha pemulihan dengan penyelarasan bersama agensi berkaitan, mengumpulkan maklumat mengenai penduduk terjejas serta menyediakan bantuan mengikut kriteria dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Teerapat berkata pihak berkuasa akan terus memantau keadaan air dan mengeluarkan amaran kepada orang ramai sehingga situasi bertambah baik.

September lazimnya merupakan kemuncak musim hujan di negara itu, namun banjir terbaharu itu mengimbau kembali bencana banjir dahsyat pada 2011, antara yang terburuk melanda Thailand dalam beberapa dekad, yang menjejaskan lebih 13 juta penduduk serta menyebabkan kerosakan dan kerugian bernilai berbilion.

— BERNAMA