
Bekas anggota Imigresen ditahan bantu siasatan kes rasuah lebih RM10 juta
KUANTAN,. Seorang lagi bekas anggota Jabatan Imigresen ditahan semalam kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2).
Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang kira-kira pukul 11.55 malam, berkaitan kes rasuah membabitkan jumlah melebihi RM10 juta.
Suspek yang bersara awal pada 1 Januari 2024 kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 22 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan tersebut.
Terdahulu, media melaporkan tiga anggota Jabatan Imigresen, termasuk seorang wanita, ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan kes sama.
Kesemua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan SPRM Pahang di beberapa lokasi termasuk Nilai (Negeri Sembilan), Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara sejak tahun 2021 hingga 2024.
Sindiket itu dipercayai meraih keuntungan jutaan ringgit hasil rasuah, yang turut diagihkan kepada anggota Imigresen lain.
Mereka didakwa menjadi ‘tali barut’ bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan, menerusi modus operandi ‘counter setting’ di KLIA1 dan KLIA2.
– BERNAMA