
Bekas CEO Syarikat Air Johor Dituduh Tipu RM3.38 Juta
KUALA LUMPUR, 27 Jan: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengendali air di Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menipu, membabitkan dana berjumlah RM3,382,500 melalui program kebajikan tidak wujud.
Tertuduh, Muhamad Faizal Aliar, 39, yang hadir menggunakan kerusi roda, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Faizal didakwa memperdaya Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd untuk mempercayai bahawa dua program kebajikan, iaitu “Program Imarah Ramadhan 2023” dan “Program Prihatin Komuniti Madani 2023,” akan dijalankan. Surat permohonan bertarikh 1 dan 4 April 2023 dikemukakan sebagai sokongan. Walau bagaimanapun, kedua-dua program itu tidak pernah dilaksanakan.
Akibat penipuan tersebut, syarikat berkenaan telah memindahkan wang berjumlah RM82,500 dan RM3.3 juta ke akaun bank milik Pertubuhan Inspirasi Prihatin Malaysia. Kesalahan ini didakwa dilakukan pada 13 dan 14 April 2023 di Menara Felda Platinum Park, Kuala Lumpur.
Tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun hingga maksimum 10 tahun, sebatan, dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 untuk kedua-dua pertuduhan, memandangkan jumlah kerugian yang terlibat adalah besar.
Namun, peguam bela tertuduh, S. Preakas, memohon pengurangan jaminan kepada RM50,000 atas alasan anak guamnya tidak bekerja, sedang menjalani rawatan kerana kecederaan saraf tunjang, dan mempunyai tanggungan keluarga, termasuk empat anak yang masih bersekolah, dua daripadanya adalah anak istimewa.
Selepas menimbang rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin. Tarikh sebutan semula kes dijadualkan pada 3 Mac.