
Bekas Pegawai NAFAS Didakwa Terima Rasuah AS$300,000
28 Januari 2025, / KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Nordin Ibrohim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah AS$300,000 daripada syarikat pembekal baja Singapura, tiga tahun lalu.
Menurut pertuduhan, Nordin, 77, didakwa menerima wang tersebut daripada Kim Jong Kwa, Pengarah Syarikat Sung Chang Asia Pte. Ltd., sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu dilantik sebagai pembekal baja kepada pesawah melalui NAFAS. Transaksi suapan itu didakwa dipindahkan dari akaun syarikat tersebut ke akaun bank peribadi Nordin di sebuah bank di Plaza Mont Kiara antara 16 November dan 21 Disember 2022.
Nordin kini berdepan dengan tuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda yang setara dengan lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau sekurang-kurangnya RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Abdul Muntaqim Abdul Aziz, mencadangkan agar jaminan ditetapkan antara RM200,000 hingga RM300,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan seperti penyerahan pasport dan kewajipan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Peguam Datuk Zamri Idrus, yang mewakili Nordin, memohon agar jaminan dikurangkan, menyatakan anak guamnya yang merupakan pesara menanggung keluarga dan mempunyai masalah kesihatan.
Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan Nordin diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, serta syarat-syarat tambahan seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Sebutan kes akan diteruskan pada 26 Februari depan.