
Bina rumah mampu milik seiring hab pendidikan Pagoh azam calon DUN Bukit Kepong
PAGOH, 5 Mac — Berbeza parti, namun tiga calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masing-masing mempunyai visi untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat selain memfokuskan isu pendidikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong,
Ketika ditemui Bernama semasa turun padang, mereka berkata isu perumahan perlu diberikan tumpuan bagi membolehkan rakyat memiliki kediaman, selain status kawasan Pagoh itu sendiri yang merupakan sebuah hab pendidikan.
Calon Barisan Nasional (BN) Ismail Mohamed berkata beliau ingin menyelesaikan tiga projek rumah terbengkalai iaitu rumah generasi kedua di Felda Moakil, Sungai Meda Bukit Kepong dan di Pekan Lenga.
Ismail yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Ahli DUN Bukit Serampang (kini dikenali DUN Bukit Kepong) pada 2013 berkata beliau pernah menjalankan kajian keperluan masyarakat di kawasan itu dan isu yang paling banyak disuarakan rakyat adalah berkaitan perumahan mampu milik khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Melalui hasil kajian itu saya lihat di mukim Bukit Kepong rakyat memerlukan rumah… ini penting kerana bila selesai isu rumah ia akan turut membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Mengenai golongan muda, Ketua Bahagian UMNO Pagoh itu berkata beliau mewujudkan Yayasan Pagoh Perdana semasa menjadi wakil rakyat untuk membantu anak-anak muda yang ingin menyambung pelajaran dan menyampaikan segala bentuk bantuan memulakan perniagaan.
“Kebanyakan orang muda mempunyai minat dalam bidang perniagaan, seperti jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS)… kami jalankan program bimbingan walaupun pada masa itu kami tidak jadi wakil rakyat tetapi kami teruskan usaha membantu,” katanya.
Dalam persaingan empat penjuru di DUN Bukit Kepong, Ismail bakal ditentang penyandang kerusi itu Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Perikatan Nasional (PN), yang merupakan bekas Menteri Besar Johor selain dua calon lain, Md Taib Md Suhut daripada Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Nur Afiqah M Zulkifli daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Dr Sahruddin berkata pembangunan di DUN Bukit Kepong yang semakin pesat memerlukan projek perumahan rakyat diberikan tumpuan utama.
Disebabkan Pagoh telah diangkat sebagai hab pendidikan, terdapat keperluan untuk menyediakan lebih banyak projek perumahan dan infrastruktur bagi menampung keperluan pelajar dan warga pendidik di sini, katanya.
“Saya mahu fokus kepada perumahan mampu milik untuk rakyat di DUN Bukit Kepong kerana di kawasan ini terdapat universiti, asrama dan sekolah, semestinya kawasan perumahan yang tersusun dan mesra rakyat sangat diperlukan, dan sekali gus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi di sini,” katanya.
Selain itu, Dr Sahruddin yang optimis dapat mengekalkan kerusi DUN Bukit Kepong pada pilihan raya nanti, berhasrat membantu lebih ramai golongan petani di kawasan itu yang sinonim dengan penanaman durian dan getah, seterusnya merancakkan sektor agropertanian dengan lebih maju dan berdaya saing.
Bagi Md Taib yang pertama kali memasuki gelanggang pilihan raya, harapannya adalah untuk meningkatkan tahap pendidikan anak-anak yang tercicir dengan mewujudkan pusat pendidikan vokasional bagi membimbing dan mengasah bakat golongan itu.
Katanya, anak muda tidak boleh dibiarkan terumbang-ambing tanpa hala tuju dan menjadi peranan wakil rakyat untuk membantu membina masa depan mereka, selain sokongan ibu bapa, guru dan komuniti.
“Kemahiran dan bakat mereka perlu diasah, tambahan lagi pada masa ini anak muda terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan. Menjadi harapan saya untuk menawarkan khidmat latihan vokasional dengan mewujudkan pusat komuniti yang dilengkapi kemudahan dan akses pembelajaran kepada orang muda dan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini sehingga 21 Jan lepas, DUN Bukit Kepong yang terletak di bawah Parlimen Pagoh mempunyai seramai 37,495 pengundi,
SPR menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac.
— BERNAMA