KUALA LUMPUR,. Penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sepanjang 2026, me
KUALA LUMPUR,. Penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sepanjang 2026, meskipun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) melaksanakan beberapa pengurangan kadar terbaharu.
Fed menurunkan kadar pinjaman utamanya sebanyak 25 mata asas kepada 3.50-3.75 peratus pada mesyuarat dua hari yang berakhir pada 10 Dis, 2025. Ini merupakan penurunan ketiga tahun ini, selepas pemotongan pertama pada 17 September kepada 4.00-4.25 peratus, diikuti pengurangan kedua pada 29 Oktober kepada 3.75-4.00 peratus.
Apex Securities Bhd berpendapat langkah Fed itu memberi kesan terhad kepada pendirian monetari BNM dan menjangkakan OPR kekal pada 2.75 peratus sepanjang 2026, sejajar dasar akomodatif bagi menyokong permintaan domestik dan persekitaran luaran yang bertambah baik. Menurutnya, pengurangan kadar biasanya menolak hasil Perbendaharaan AS (UST) lebih rendah dan kecenderungan penurunan sederhana ini boleh menyokong prestasi ringgit.
Firma itu berkata pendirian pelonggaran Fed atau prestasi perdagangan global yang lebih kukuh berpotensi mengukuhkan ringgit, sekali gus boleh mendorong kadar dolar AS-ringgit bergerak sekitar 4.05 hingga 4.10 pada 2026.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) turut menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada paras sama, dengan menyatakan dasar semasa masih sesuai dan menyokong pertumbuhan dalam suasana harga yang stabil.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) berkata pasaran kini turut mengambil kira dua lagi pengurangan kadar Fed pada 2026, masing-masing pada April dan September. Katanya, data ekonomi yang akan diterima dijangka menyokong dua pusingan penurunan kadar itu. Walaupun Fed melihat keperluan yang minimum untuk melonggarkan dasar secara agresif, perkembangan kadar pengangguran dalam tempoh terdekat boleh mempengaruhi keputusan berkenaan.
Kenanga IB juga menjangkakan inflasi tidak mungkin meningkat semula, memandangkan kesan tarif terhadap harga berlaku secara berperingkat dan lebih rendah daripada jangkaan. Firma itu sebelum ini menjangka penurunan kadar pada Januari, namun berpendapat Fed kini mempunyai ruang untuk menunggu sehingga Mac apabila data lebih jelas. Penurunan kedua pula mungkin berlaku pada Jun, sebelum Pengerusi Fed Jerome Powell digantikan apabila tempoh jawatannya tamat pada Mei.
–BERNAMA
