
Brady menjuarai WTA pertama kali, kalahkan Teichmann
WASHINGTON,. Pemain tuan rumah, Jen Brady, memenangi kejuaraan WTA yang pertama beliau pada Ahad apabila menewaskan pemain dari Switzerland, Jil Teichmann 6-3 dan 6-4 di final Terbuka Top Seed.
Brady tidak tewas satu set sepanjang minggu ini untuk melangkah ke final WTA pertama beliau dan kemudian menewaskan Teichmann untuk memenangi kejohanan persediaan menjelang Terbuka AS pada perlawanan tanpa penonton di Lexington, Kentucky.
“Ruang itu tidak terhad, jadi mari kita terus berusaha,” kata Brady.
“Tiada perkara lebih baik berbanding bermain di tanahair anda sendiri, terutama sekali meraih kemenangan di tanahair, jadi ia satu pencapaian yang hebat dan sesuatu yang sangat menggembirakan saya.”
Kejohanan ini dianjurkan berikutan dengan isu penjadualan semula kejohanan ekoran pandemik koronavirus (COVID-19), yang menyebabkan sukan tenis di seluruh dunia terhenti hampir lima bulan.
Kejohanan ini juga adalah kejohanan WTA yang pertama dianjurkan di AS sejak musim tenis disambung semula.
Brady, yang dijangka naik sembilan anak tangga ranking ke kedudukan ke-40, memberikan kekalahan pertama Tiechmann di final, selepas memenangi kejohanan di Prague dan Palermo pada 2019.
Kedua-dua pemain berkongsi satu kemenangan di antara mereka dengan Teichmann menang di Limoges dan Brady menang di Cincinnati tahun lepas.
“Saingan sengit seperti biasa,” kata Teichmann. “Saya berharap kami akan mempunyai lebih banyak pertemuan seperti ini di masa hadapan.”
Brady mensia-siakan peluang menjarakkan kedudukan pada set keempat tetapi mengekalkan rentak dan konsistensi pada kedua-dua set.
Teichmann, pada final pertama beliau untuk kejohanan WTA di permukaan simen, harus menyalahkan dirinya sendiri kerana melakukan beberapa kesilapan mudah terutama sekali pada mata penting, memberikan kemenangan pada lawannya dalam masa satu jam dan 42 minit. — AFP