Bursa dibuka lebih tinggi pada isnin pagi

Bursa dibuka lebih tinggi pada isnin pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, sejajar dengan prestasi Wall Street yang kukuh pada Jumaat lalu selepas Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) yang terkini pada Jun mencapai jangkaan pasaran.

Menurut Jabatan Perdagangan AS, indeks harga PCE meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan dan naik 2.5 peratus tahun ke tahun pada Jun, sejajar dengan konsensus pasaran.

Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.89 mata kepada 1,618.77 daripada 1,612.88 pada Jumaat lalu.

Indeks dibuka tinggi 4.28 mata kepada 1,617.16.

Jumlah dagangan sebanyak 352.85 juta unit bernilai RM133.41 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street ditutup tinggi berikutan pelabur kembali kepada saham wajaran tinggi teknologi yang telah mewujudkan jualan pada awal minggu lalu.

Katanya, PCE utama sejajar dengan unjuran, meningkatkan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS tidak lama lagi.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya pada minggu ini, peniaga akan memantau Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan China, jualan rumah AS, data pekerjaan AS dan PMI Pembuatan ISM AS.

“Walaupun sentimen lemah di AS, kami menjangka ini boleh menjadi peluang belian dengan peningkatan semula pada Jumaat.

“Kami percaya minat belian akan tertumpu kepada pemangkin pusat data, dengan tumpuan kepada sektor pembinaan, hartanah, utiliti, bahan binaan dan teknologi,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 4.0 sen kepada RM10.18, Tenaga Nasional menambah 12.0 sen kepada RM14.14 dan CIMB Group meningkat 3.0 sen kepada RM7.20 manakala Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing tidak berubah pada RM4.21 dan RM6.26.

Daripada saham aktif, Velocity Capital Partner naik 1.0 sen kepada 7.0 sen dan Dagang NeXchange meningkat 2.0 sen kepada 43.5 sen manakala Ekovest merosot 1.5 sen kepada 45.0 sen, Focus Dynamics Group berkurangan setengah sen kepada 1.5 sen dan HB Global tidak berubah pada 14.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 43.79 mata kepada 12,507.52, Indeks FBMT 100 naik 43.22 mata kepada 12,093.78, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 44.46 mata kepada 12,785.61 dan Indeks FBM 70 menokok 63.62 mata kepada 18,593.77 manakala Indeks FBM ACE merosot 14.97 mata kepada 5,779.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 36.38 mata kepada 18,008.30, Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 5.48 mata kepada 2,157.19, Indeks Pembinaan meningkat 1.49 mata kepada 305.84 dan Indeks Perladangan menokok 4.26 mata kepada 7,148.45.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This