Bursa dibuka mengukuh pada pagi ini

Bursa dibuka mengukuh pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan urus niaga pagi ini dalam nada yang positif untuk dibuka kukuh, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik di tengah-tengah krisis berterusan di Ukraine.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.33 mata kepada 1,581.22 berbanding 1,573.89 pada penutupan Khamis.

Indeks utama mengukuh 5.18 mata ketika dibuka pagi ini pada 1,579.07.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 313 berbanding 134, manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,623 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 227.35 juta unit bernilai RM160.38 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, Wall Street pulih daripada kerugian sebelum ini apabila aktiviti memburu saham berharga murah membantu meningkatkan indeks utama, dengan Purata Perindustrian Dow Jones (Purata DJI) ditutup 92 mata lebih tinggi manakala Nasdaq meningkat sebanyak 436 mata.

Bagi bursa tempatan, beliau berkata FBM KLCI berkemungkinan menyaksikan kemunculan kegiatan memburu saham murah tidak lama lagi.

“Justeru, kami megunjurkan indeks akan berada dalam aliran julat antara 1,570-1,585 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pak Leng menyatakan minyak sawit mentah berakhir pada rekod tertinggi baharu, menghampiri paras RM7,100 satu tan sementara minyak mentah Brent melonjak kepada hampir AS$100 setong semalam, sebagai tindak balas kepada konflik di Ukraine.

Bagi saham wajaran tinggi Bursa, Maybank naik 11 sen kepada RM8.81, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.31, Petronas Chemicals meningkat sembilan sen kepada RM9.29, IHH Healthcare menambah 12 sen kepada RM6.52 dan CIMB peroleh enam sen kepada RM5.54.

Dalam kalangan saham aktif pula, DNex meningkat tiga sen kepada RM1.17, Ta Win mengukuh setengah sen kepada 15 sen dan DGB Asia tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 63.23 mata kepada 11,282.36, Indeks FBMT 100 lebih kukuh 60.63 mata kepada 10,955.94 dan Indeks FBM Emas Syariah pulih 44.79 mata kepada 11,989.91.

Sementara itu, FBM 70 meningkat 117.72 mata kepada 13,457.51 dan FBM ACE mengukuh sebanyak 70.04 mata kepada 5,938.96.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.18 mata kepada 208.72, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 119.41 mata kepada 16,279.18, manakala Indeks Perladangan meningkat 7.35 mata kepada 8,029.43.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )