Bursa dibuka meningkat sedikit pada awal dagangan

Bursa dibuka meningkat sedikit pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat peningkatan kecil pada awal dagangan Jumaat, didorong oleh kelemahan semalaman Wall Street dan di tengah-tengah reaksi bercampur-campur terhadap pelaporan prestasi korporat, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi ini, indeks FBM KLCI menokok 1.59 mata kepada 1,408.28 daripada 1,406.69 pada akhir dagangan semalam.

Indeks dibuka mengukuh 0.79 mata kepada 1,407.48.

Sentimen pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 195 berbanding 130 manakala 269 kaunter tidak berubah, 1,700 tidak diniagakan dan 14 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 264.25 juta unit bernilai RM117.65 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata bursa tempatan itu dijangkakan menyaksikan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah hari ini dengan minat tertumpu kepada saham telekomunikasi yang mencatat prestasi kurang memberangsangkan.

“Pada masa sama, kami percaya sentimen serantau akan kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat pada minggu depan yang akan menjadikan satu lagi hari dagangan yang suram,” katanya.

Berikutan itu, beliau menjangkakan dagangan indeks petunjuk utama itu bergerak dalam jajaran 1,400 dan 1,410 hari ini.

Selain itu, Thong berkata sektor perladangan mungkin menarik tumpuan minat belian berikutan lonjakan harga minyak sawit mentah ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan iaitu melebihi RM4,000 satu tan.

Saham wajaran tinggi pula menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing turun satu sen kepada RM8.79 dan RM3.96; CIMB naik dua sen kepada RM5.24 manakala Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM9.08 dan RM6.51.

Bagi saham aktif, Classita meraih satu sen kepada 20 sen dan Destini menambah setengah sen kepada 8.5 sen; DC Healthcare tidak berubah pada 45 sen dan UEM Sunrise susut setengah sen kepada 44.5 sen.

Di papan indeks, prestasi Indeks FBM Emas naik 4.76 mata kepada 10,423.04, Indeks FBMT 100 meningkat 8.27 pada 10,107.71 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 5.70 mata kepada 10,727.35.

Selain itu, Indeks FBM 70 susut 2.05 mata kepada 13,902.60 dan Indeks FBM ACE merosot 24.82 mata kepada 5,356.05.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.80 mata kepada 15,678.64; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.27 mata kepada 163.17 dan Indeks Tenaga berkurangan 0.7 mata kepada 815.17 manakala Indeks Perladangan melonjak 67.21 mata kepada 7,039.27.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This