Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan hari ini dalam keadaan lebih rendah, terkesan oleh kekurangan pemangkin baharu serta sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur yang meneliti cabaran inflasi dan keadaan semasa pasaran.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.10 mata kepada 1,581.74 daripada 1,584.84 pada penutupan semalam selepas dibuka rendah 1.62 mata pada 1,583.22.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 139 berbanding 129, manakala 245 kaunter tidak berubah, 1,812 kaunter tidak diniagakan dan 10 lagi digantung dagangannya. Jumlah dagangan setakat ini mencecah 135.05 juta unit bernilai RM68.94 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee Shen Pin, berkata Wall Street ditutup lebih tinggi semalam dengan ketiga-tiga indeks utamanya mendapat rangsangan belian lewat selepas sesi dagangan yang tidak menentu.

“Di pasaran tempatan, FBM KLCI ditutup meningkat sedikit semalam walaupun terdapat petunjuk jualan asing. Kami menjangkakan institusi tempatan akan mengumpul saham terpilih menjelang musim pelaporan pendapatan bagi suku keempat 2024.

“Bagi hari ini, indeks dijangka bergerak dalam julat 1,580 hingga 1,590 susulan sentimen pasaran yang kekal berhati-hati,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM10.50, Public Bank susut dua sen kepada RM4.48 dan IHH Healthcare berkurang satu sen kepada RM7.27, manakala CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada RM8.40 dan RM13.94.

Saham paling aktif menyaksikan Ingenieur Gudang dan Harvest Miracle kekal mendatar pada enam sen dan 14.5 sen. MYEG dan Hartalega masing-masing naik tiga sen kepada RM1.06 dan RM2.64, manakala Sarawak Cable meningkat satu sen kepada 12 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 2.97 mata kepada 12,001.25, Indeks FBMT 100 turun 5.64 mata kepada 11,710.70, namun Indeks FBM Emas Shariah meningkat 5.74 mata kepada 11,702.07.

Indeks FBM 70 naik 59.69 mata kepada 17,596.88, manakala Indeks FBM ACE menyusut 9.64 mata kepada 5,064.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 22.29 mata kepada 19,351.79, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.04 mata kepada 163.14, Indeks Perladangan susut 17.85 mata kepada 7,412.23, manakala Indeks Tenaga menguncup 0.94 mata kepada 790.84.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )