Bursa dibuka rendah pada pagi

Bursa dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan Bursa Malaysia susut pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi bercampur-campur semalaman Wall Street kerana pelabur menjangkakan kadar faedah mungkin kekal dinaikkan untuk seketika.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.18 mata kepada 1,376.47 daripada 1,378.65 pada penutup Rabu.

Indeks utama dibuka 2.86 mata lebih rendah kepada 1,375.79.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 170 berbanding 131, manakala 224 kaunter tidak berubah, 1,718 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 247.88 juta unit bernilai RM83.02 juta.

Dow Jones memperoleh 92 mata, terutamanya disokong oleh kegiatan membeli manakala Nasdaq kerugian 171 mata apabila hasil 10 tahun Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) melonjak kepada 3.79 peratus menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan minggu depan.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, FBM KLCI meneruskan trajektori menurunnya kerana ketiadaan sokongan daripada kegiatan belian.

“Walaupun indeks berlegar hampir kepada paras rendah 52 minggu, pelabur lebih suka untuk tidak memasuki pasaran buat seketika.

“Justeru, kami menjangkakan dagangan di bursa tempatan akan kekal lengang sekiranya tiada pemangkin belian, dan indeks akan berada dalam aliran julat 1,375 hingga 1,385 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut satu sen kepada RM3.80 dan RM6.40, Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM9.23 dan CIMB lebih rendah dua sen untuk mencatatkan RM4.88 manakala Maybank menambah satu sen menjadi RM8.59.

Bagi saham aktif, Star Media dan RGB International kedua-duanya menokok setengah sen kepada 50.5 sen dan 26.5 sen, Komarkcorp peroleh satu sen kepada 9.5 sen, Sarawak Consolidated rendah dua sen kepada 25.5 sen dan Tanco tidak berubah pada 49 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 9.72 mata kepada 10,152.25, Indeks FBMT 100 menyusut 9.41 mata kepada 9,852.82 manakala Indeks FBM Emas Syariah menguncup 20.27 mata kepada 10,509.46.

Indeks FBM ACE turun 13.29 mata kepada 5,012.41 dan Indeks FBM 70 meningkat 12.68 mata kepada 13,440.45.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 0.74 mata kepada 782.48, Indeks Perladangan turun 19.37 mata kepada 6,642.67 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kerugian 0.32 mata menjadi 158.57.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan bertambah baik 9.29 mata untuk mencatatkan paras 15,102.11.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)