
Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan hari ini dengan lebih tinggi, namun menyusut selepas lebih sejam dagangan, selari dengan prestasi semalaman Wall Street ketika pengeluar automotif Amerika Syarikat (AS) menerima pengecualian tarif sementara.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.36 mata kepada 1,568.78 berbanding 1,564.42 pada penutupan semalam. Bagaimanapun, indeks penanda aras itu kemudiannya menyusut 6.91 mata kepada 1,557.51. Sewaktu dibuka, indeks itu mencatat kenaikan 4.53 mata pada 1,568.95.
Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 317 berbanding 309, manakala 363 kaunter tidak berubah, 1,353 kaunter tidak diniagakan dan tujuh lagi digantung dagangannya. Jumlah dagangan direkodkan sebanyak 192.60 juta saham dengan nilai transaksi RM95.55 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata penangguhan tarif selama sebulan oleh AS terhadap pengeluar automotif telah mencetuskan jangkaan kemungkinan tindakan serupa diperluaskan kepada sektor lain.
“Namun, ketidaktentuan masih ketara susulan kebimbangan terhadap tekanan inflasi yang menyebabkan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat kepada 4.28 peratus,” katanya kepada Bernama.
Dalam perkembangan berkaitan, Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak hampir ke paras 23,600, didorong oleh kenaikan saham CK Hutchison Holdings selepas cadangan pelupusan aset bernilai AS$23 bilion berhampiran Terusan Panama.
Thong menambah bahawa Perdana Menteri China, Li Qiang, ketika perasmian Kongres Rakyat Kebangsaan, menetapkan sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) China sebanyak lima peratus bagi tahun ini serta meningkatkan perbelanjaan fiskal.
Di peringkat tempatan, beliau menjangkakan kerjasama dengan Arm Holdings Plc mampu merangsang sektor teknologi Malaysia dalam rantaian nilai global, sekali gus memberi manfaat besar kepada pemain industri sedia ada.
“Berdasarkan sentimen positif pasaran serantau, kami percaya kemasukan semula dana asing mungkin telah bermula, membolehkan pergerakan indeks dalam julat 1,565 hingga 1,575 hari ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI dijangka diniagakan lebih tinggi berikutan kenaikan semalaman Wall Street selepas AS bersetuju menangguhkan tarif automotif ke atas Mexico dan Kanada.
“Selain itu, mesyuarat tahunan China yang menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi sekitar lima peratus bagi 2025 turut meningkatkan keyakinan pelabur, meskipun wujud kebimbangan mengenai impak perang dagangan yang semakin meruncing dengan AS,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik 4.0 sen kepada RM7.41, manakala Public Bank susut 3.0 sen kepada RM4.60, CIMB turun 17.0 sen kepada RM7.63, Tenaga Nasional rugi 14.0 sen kepada RM13.68 dan Maybank kekal pada RM10.58.
Bagi saham aktif, G3 Global dan Dagang NeXchange masing-masing naik setengah sen kepada 1.5 sen dan 26.5 sen, My E.G. Services meningkat 3.0 sen kepada 94.0 sen, manakala NexG dan SFP Tech Holdings susut setengah sen masing-masing kepada 25.5 sen dan 28.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 39.17 mata kepada 11,574.82, Indeks FBMT 100 susut 40.06 mata kepada 11,357.22, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 13.59 mata kepada 11,232.12, Indeks FBM 70 menguncup 16.52 mata kepada 16,379.53, manakala Indeks FBM ACE kehilangan 34.08 mata kepada 4,552.20.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.09 mata kepada 155.37, Indeks Tenaga susut 4.32 mata kepada 723.34, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 137.24 mata kepada 19,165.71, manakala Indeks Perladangan meningkat 32.83 mata kepada 7,542.30.
–BERNAMA