
Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan sebelum susut
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi namun mengalami penurunan selepas itu ekoran penjualan di kaunter berkaitan indeks dalam situasi sentimen pasaran bercampur-campur walaupun Wall Street mencatatkan prestasi kukuh dalam tempoh semalaman, kata peniaga.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.12 mata kepada 1,547.78 daripada 1,549.90 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.34 mata lebih kukuh kepada 1,551.24.
Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 239 berbanding 137, manakala 237 kaunter tidak berubah, 1,633 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 313.43 juta unit bernilai RM105.21 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street mencatatkan lantunan semula apabila Indeks Dow Jones meningkat 1.3 peratus sekali gus pulih daripada semua sesi penurunan yang dicatatkan sebelum itu ekoran data buruh yang dijangkakan lemah dan itu mungkin meredakan sedikit kebimbangan terhadap tekanan inflasi.
Namun begitu, aktiviti pembelian semasa harga rendah dijangkakan dialami di seluruh sektor memandangkan Wall Street merekodkan peningkatan semula dalam tempoh semalaman, jelasnya.
“Kami percaya harga minyak mentah akan kekal tinggi dalam jangka masa terdekat berikutan pengurangan pengeluaran Rusia dan penurunan lebih besar berbanding jangkaan dalam inventori AS, justeru tekanan inflasi mungkin tidak reda dalam masa terdekat,” menurutnya dalam nota penyelidikan.
Firma pembrokeran itu menambah, harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah Brent sedang meningkat, dengan MSM diniagakan sekitar RM6,500 satu tan manakala minyak mentah didagangkan melebihi US$117 setong.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing susut 3.0 sen kepada RM8.91 dan RM9.96 manakala IHH Healthcare dan CIMB masing-masing turun 4.0 sen kepada RM6.50 dan RM5.14, serta Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4. .62.
Bagi saham aktif, Serba Dinamik naik 2.5 sen kepada 13 sen dan warannya menokok 1.0 sen kepada 5.0 sen manakala MQ Technology dan Dagang Nexchange masing-masing meningkat setengah sen kepada 5.5 sen dan RM1.00, serta Sapura Energy susut setengah sen kepada 5.5 sen.
Sementara itu, dagangan saham Fraser & Neave Holdings Bhd dan Cocoaland Holdings Bhd masing-masing digantung berkuat kuasa 9 pagi hari ini bagi menunggu pengumuman daripada kedua-dua syarikat.
Di papan indeks, FBM ACE meningkat 27.34 mata kepada 5,263.74; Indeks FBM Emas Syariah menambah 2.85 mata kepada 11,399.45; FBM 70 menokok 37.12 mata kepada 13,304.17; Indeks FBM Emas turun 1.86 mata kepada 11,056.04 dan Indeks FBMT 100 susut 4.26 mata kepada 10,751.95.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.22 mata kepada 200.13; Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 19.59 mata kepada 16,726.30 manakala Indeks Perladangan meningkat 19.02 mata kepada 7,921.07.
–BERNAMA