
Bursa dibuka tinggi pada pagi
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini apabila aktiviti pembelian saham pada harga rendah kembali menguasai pasaran selepas tekanan jualan ketara semalam, meskipun sentimen Wall Street semalaman kekal suram, kata penganalisis.
Pada jam 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 10.51 mata atau 0.73 peratus kepada 1,454.31 berbanding 1,443.80 ketika ditutup semalam. Indeks itu dibuka menokok 7.63 mata kepada 1,451.43.
Secara keseluruhan, sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi, masing-masing 392 berbanding 105 manakala 208 kaunter tidak berubah. Sebanyak 1,644 kaunter tidak diniagakan manakala sembilan kaunter digantung dagangannya.
Jumlah dagangan direkodkan sebanyak 156.59 juta unit bernilai RM133.79 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran saham Amerika Syarikat (AS) kekal dalam fasa tidak menentu berikutan ketidakpastian dasar tarif negara itu.
“Walaupun terdapat aktiviti memburu saham pada harga rendah, keyakinan pasaran masih rapuh susulan kenyataan Presiden Donald Trump yang bercadang mengenakan tarif tambahan 50 peratus ke atas China sekiranya Beijing tidak menarik balik tarif balas 34 peratus mereka,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat domestik, Thong menjangkakan aktiviti pembelian saham pada harga rendah akan berterusan selepas penjualan meluas di pasaran serantau, kesan daripada pengumuman tarif global oleh Trump minggu lalu.
“Kami menjangkakan indeks utama bergerak dalam julat 1,450 hingga 1,480 hari ini,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.99 manakala Public Bank naik lima sen kepada RM4.26. TNB dan CIMB masing-masing meningkat lapan sen kepada RM13.20 dan RM6.70, sementara IHH Healthcare turun enam sen kepada RM6.65.
Bagi saham aktif, MYEG melonjak tujuh sen kepada 78 sen, Cypark naik lima sen kepada 71 sen, Eldridge Energy menambah satu sen kepada 46 sen, Nationgate meningkat tujuh sen kepada RM1.14 manakala Pertama Digital naik setengah sen kepada 8.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 113.19 mata kepada 10,731.75, Indeks FBMT 100 naik 104.61 mata kepada 10,538.92 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 121 mata kepada 10,422.77.
Indeks FBM 70 turut mengukuh 262.48 mata kepada 14,938.35, manakala Indeks FBM ACE meningkat 51.40 mata kepada 4,304.12.
Bagi prestasi mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 107.80 mata kepada 17,717.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.48 mata kepada 137.97 dan Indeks Tenaga meningkat 18.04 mata kepada 660.42.
Namun, Indeks Perladangan susut sedikit sebanyak 3.06 mata kepada 7,095.74.
–BERNAMA