Bursa Malaysia bercampur-campur selepas dibuka tinggi

Bursa Malaysia bercampur-campur selepas dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi namun bertukar menjadi bercampur-campur pada awal dagangan hari ini, dijejaskan oleh sentimen pelabur yang berhati-hati berikutan perkembangan luaran khususnya berkaitan permintaan China supaya Amerika Syarikat mengurangkan tarif yang dikenakan ke atas negara itu, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.72 mata kepada 1,605.02 berbanding 1,606.74 sewaktu ditutup pada Selasa.

Sewaktu dibuka, indeks utama itu menokok 2.69 mata kepada 1,609.43.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 125 berbanding 99 manakala 187 kaunter lain tidak berubah, 1,565 tidak didagangkan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 123.33 juta saham bernilai RM54.27 juta.

Bagaimanapun, penyusutan itu ditampung oleh pengukuhan pasaran saham Amerika Syarikat (AS) ketika para pelabur menyambut baik data sektor perkhidmatan yang lebih positif daripada jangkaan awal.

Di peringkat tempatan, Affin Hwang Investment Bank Bhd berkata walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) semalam memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus, ia kekal berhati-hati terhadap persekitaran pertumbuhan luaran berdasarkan penilaian ekonomi global yang terkini.

BNM juga mennyifatkan pertumbuhan yang perlahan itu juga ketara baik di negara maju mahu pun sedang pesat membangun.

Menerusi satu nota penyelidikannya hari ini, Affin Hwang berkata : “Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.7 peratus, disokong oleh usaha mengekalkan pengembangan permintaan domestik.

“Bagaimanapun pada 2020, kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK benar Malaysia akan menyederhana kepada 4.5 peratus (jangkaan 4.7 peratus bagi 2019).”

Sementara itu, mengulas prestasi bursa tempatan, Malacca Securities Sdn Bhd’s (MSSB) pula berpendapatan bahawa keadaan semasa dilihat sesuai bagi tujuan pengambilan untung yang boleh menyaksikan keadaan pasaran yang bercampur kepada rendah.

“Saham berharga rendah dan di pasaran luas mencatat prestasi bercampur kepada rendah berikutan ketidaktentuan pasaran yang semakin reda selepas peningkatan baru-baru ini menyaksikan indeks mencatat belian berlebihan,” katanya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung satu sen kepada RM8.67 namun Tenaga, Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing susut dua sen kepada RM13.98, RM7.68. dan RM5.31 manakala Public Bank turun enam sen kepada RM19.80.

Bagi saham aktif, Velesto Energy naik 2.5 sen kepada 38.5 sen manakala Sapura Energy dan Netx masing-masing tidak berubah kepada 26.5 sen dan dua sen.

Indeks FBM Emas turun 5.25 mata kepada 11,368.48, Indeks FBMT 100 susut 6.00 mata kepada 11,180.62 tetapi Indeks FBM Emas Shariah meningkat 1.64 mata kepada 11,932.63.

FBM Ace susut 9.81 kepada 4,987.99 namun FBM 70 naik 17.28 mata kepada 14,095.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 5.04 mata kepada 15,640.75, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.19 mata kepada 154.53 dan Indeks Perladangan turun 11.24 mata kepada 6,876.65.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )