Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, meningkat semula berbanding penurunan semalam susulan pengumuman kerajaan untuk memulakan pemvaksinan kepada pekerja dalam sektor ekonomi kritikal di bawah fasa empat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.0 mata kepada 1,584.48 daripada 1,581.48 pada penutupan Rabu.

Indeks itu dibuka 1.87 mata lebih tinggi kepada 1,583.35 hari ini.

Suasana pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 220 kepada 188, manakala 283 kaunter tidak berubah, 1,469 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 472.02 juta unit bernilai RM184.07 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota hari ini berkata, pengumuman kerajaan untuk memulakan pemberian vaksinasi kepada pekerja dalam sektor ekonomi kritikal telah mengubah sentimen pelabur kepada nada positif.

“Mengikut sektor, harga minyak sawit mentah (MSM) meneruskan penurunannya, manakala harga minyak mentah kekal tidak berubah pada sekitar AS$72 setong.

“Justeru, kami menjangka kaunter pengangkutan dan logistik akan terus mencatatkan prestasi baik di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, saham bertemakan pemulihan mungkin menjadi tumpuan dalam masa terdekat ini berikutan sentimen pasaran yang lebih baik selepas peningkatan kadar vaksinasi di negara ini.

“Malah, kaunter perladangan mungkin meraih sokongan daripada perjanjian pengambilalihan IJM Plantations,” katanya.

Semalam, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) mengumumkan cadangannya untuk mengambil alih 494.87 juta saham di IJM Plantations Bhd daripada IJM Corp Bhd pada RM1.53 bilion.

IJM Plantations kemudiannya menjadi satu daripada kaunter untung pagi ini, menokok 53 sen kepada RM2.99 dengan 3.18 juta saham bertukar tangan, manakala KLK naik 28 sen kepada RM22.04 dengan 53,200 saham diniagakan.

Pada Rabu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 akan bekerjasama dengan anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik Kementerian Kesihatan Malaysia, Protect Health Corporation Sdn Bhd untuk menguruskan pengendalian suntikan vaksinasi kepada sektor itu.

Dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan semalam, Khairy berkata sektor industri yang terlibat ialah pembuatan, eksport, logistik, pengangkutan, tenaga, utiliti dan lain-lain yang berkaitan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.20, Public Bank naik dua sen kepada RM4.22, PetChem meningkat lapan sen kepada RM8.13 dan TNB menokok tiga sen kepada RM9.96.

Bagi saham aktif, Vsolar tidak berubah pada dua sen, Cuscapi menambah 1.5 sen kepada 29 sen dan Managepay turun dua sen kepada 24.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 29.51 mata kepada 11,556.12, Indeks FBMT 100 naik 26.44 mata kepada 11,241.02 dan FBM ACE meraih 31.17 mata kepada 7,698.98.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 41.65 mata kepada 12,710.52 dan FBM 70 mengukuh 55.19 mata kepada 14,958.46.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 6.16 mata kepada 15,289.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.58 mata kepada 192.87 dan Indeks Perladangan susut 63.67 mata kepada 6,814.89.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )