Bursa Malaysia dibuka rendah pada awal dagangan

Bursa Malaysia dibuka rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia mencatat penyusutan kecil pada awal dagangan Rabu, menjejaki prestasi semalaman saham-saham Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan berterusan mengenai impak varian Delta ke atas pemulihan ekonomi.

Harga bon kerajaan turut jatuh di AS dan Eropah dan pengukuhan dolar AS menjelang mesyuarat bank-bank pusat juga mungkin menandakan permulaan untuk menamatkan rangsangan monetari pada era krisis, kata peniaga.

Pada 9.07 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.06 mata kepada 1,583.42 daripada 1,583.48 yang dicatatkan pada akhir dagangan Selasa.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 228 berbanding 196 manakala 323 kaunter tidak berubah, 1,490 tidak didagangkan dan 25 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 345.85 juta unit bernilai RM132.66 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata dagangan di bursa tempatan itu berkemungkinan mendatar berikutan aktiviti pengambilan untung di pasaran lebih meluas.

Bagaimanapun, katanya, sentimen optimis pemulihan ekonomi apabila lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi semula menjelang peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), dijangkakan dapat menampung sebarang risiko penurunan pasaran kerana dilihat mampu menarik sokongan belian asing.

Firma pembrokeran itu berkata harga minyak sawit mentah (MSM) juga semakin meningkat manakala harga minyak mentah pula mencatat prestasi sebaliknya.

Pelabur pula, katanya berkemungkinan kekal optimis terhadap pemulihan sektor dan dilihat lebih memilih saham-saham perbankan, pengguna, pembinaan, hartanah, perladangan dan stok bahan binaan.

“Malah, kaunter berkaitan keluli dan aluminium mungkin lebih ketara berikutan harga aluminium yang kekal tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan IHH Healthcare masing-masing naik satu sen kepada RM8.28 dan RM6.31, Petronas Chemicals untung lima sen kepada RM8.13, Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM10.30 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.10.

Bagi saham aktif, PUC meraih tiga sen kepada 19.5 sen, JAKS Resources menambah satu sen kepada 52.5 sen, KNM dan GIIB masing-masing naik setengah sen kepada 32 sen dan 7.5 sen manakala Kanger International tidak berubah pada 5.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 2.54 mata kepada 11,597.82, Indeks FBMT 100 turun 3.04 mata kepada 11,283.24 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 16.0 mata kepada 12,695.89.

FBM 70 susut 14.37 mata kepada 15,209.31 dan FBM ACE merosot 21.56 mata kepada 7,338.74.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 17.97 mata kepada 6,639.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.53 mata kepada 201.81 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 22.19 mata kepada 15,460.27.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )