
Bursa Malaysia rendah
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini disebabkan sentimen lemah berikutan penguatkuasaan sekatan perjalanan yang telah diperluaskan ke seluruh negara dan menjelang keputusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2021 yang akan dikeluarkan hari ini.
Pada 9.14 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.79 mata kepada 1,575.13 daripada 1,583.92 sewaktu ditutup pada Isnin.
Indeks itu dibuka 4.61 mata lebih rendah kepada 1,579.31.
Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 644 kepada 75, manakala 252 kaunter tidak berubah, 1,197 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 798.43 juta bernilai RM328.08 juta.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun untuk membendung peningkatan mendadak jangkitan COVID-19.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota menjangkakan PKP 3.0 yang diperluaskan ke seluruh negara ini akan mempengaruhi sentimen pasaran.
Katanya, sekiranya indeks utama menetapkan penurunan selanjutnya, sokongan seharusnya di antara 1,555 dengan 1,565, manakala rintangan ditetapkan antara 1,600 dan 1,620
Sementara itu, harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) menguncup selepas mencatatkan peningkatan kukuh baru-baru ini.
“Berikutan peningkatan harga komoditi khususnya harga MSM dan minyak, kami yakin kaunter tenaga dan perladangan mungkin berada di bawah radar pedagang dalam masa terdekat ini.
“Malah, beberapa saham pengguna utama serta penerima manfaat daripada sekatan perjalanan ini seperti industri pembungkusan plastik mungkin adalah baik sepanjang waktu ini,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Tenaga rendah tiga sen masing-masing kepada RM8.21 dan RM9.87, Public Bank turun dua sen kepada RM4.08, PetChem berkurangan enam sen kepada RM8.19, dan IHH Healthcare rendah satu sen kepada RM5.65.
Bagi saham aktif, Pegasus dan Key Alliance tidak berubah masing-masing pada dua sen dan 3.5 sen, manakala KTG dan Tanco rendah setengah sen masing-masing kepada 20 sen dan 12.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas 90.97 mata lebih rendah kepada 11,525.36, Indeks FBMT 100 berkurangan 77.6 mata kepada 11,200.44, Indeks FBM Emas Syariah turun 101.01 mata kepada 12,921.1, FBM ACE jatuh 132.4 mata kepada 8,005.44,dan FBM 70 menyusut 134.4 mata kepada 15,004.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan kepada 76.78 mata kepada 14,712.76, Indeks Perladangan berkurangan 50.79 mata kepada 7,099.34 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.54 mata kepada 196.62.
Jualan besar-besaran turut dikesan dalam kalangan saham permodalan kecil yang menyaksikan FBM SCAP merosot 295.7 mata kepada 16,555.94.
-BERNAMA