
Celcom Axiata mencari kerjasama bukannya penggabungan
PETALING JAYA,. Celcom Axiata Bhd mencari kerjasama atau perkongsian berpotensi yang akan membolehkan pengendali rangkaian mudah alih itu melancarkan rangkaiannya pada kos lebih rendah, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Idham Nawawi
Beliau berkata pada masa ini, syarikat itu tidak mempunyai sebarang perancangan untuk penggabungan atau pengambilalihan, kerana ia merupakan satu langkah besar yang perlu dilihat dalam jangka panjang kerana pasaran kemungkinan pada akhirnya akan perlu melakukan penyatuan.
“Ketika industri maju ke hadapan, permintaan dan pelaburan kian meningkat dan semakin besar.
“Penting bagi kami untuk bekerjasama antara satu sama lain mengenai bagaimana untuk membina rangkaian terbaik bersama-sama pada kos serendah mungkin supaya kita boleh menyediakan kualiti terbaik kepada pelanggan pada harga yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran pelan pasca bayar berpatutan baharu syarikat itu, XP LiteTM.
Pada 6 Sept, Axiata Group Bhd (syarikat induk Celcom Axiata) mengumumkan pembatalan cadangan perbincangan penggabungannya dengan Telenor ASA dari Norway selepas melakukan kajian terperinci mereka, dengan menyebut ‘keadaan kompleks’ cadangan urus niaga itu sebagai alasan disebalik kegagalan itu.
Pada 12 Sept, Idham berkata operasi syarikat berjalan seperti biasa, walaupun kegagalan cadangan penggabungan itu.
Sementara itu, pelan XP LiteTM memberikan pelbagai pilihan kepada pelanggan untuk memilih pas internet pilihan mereka sendiri bagi lebih banyak internet dan menikmati ganjaran lebih besar dengan rangkaian 4G LTE terbaik.
Idham berkata pelan baharu itu, yang boleh didapatkan mulai esok pada harga RM28 setiap langganan, akan membolehkan pelanggan menikmati dengan segera panggilan tanpa had dan internet 1GB setiap bulan.
Beliau percaya XP LiteTM mampu menarik pelanggan baharu untuk melanggan dengan Celcom, yang sekali gus dapat menampung kemerosotan pelanggan syarikat itu dalam segmen prabayar.
— BERNAMA