China kongsi pengalaman tangani COVID-19 dengan Filipina

China kongsi pengalaman tangani COVID-19 dengan Filipina

BEIJING,. Projek Bantuan Kerjasama Selatan-Selatan yang bertujuan untuk berkongsi dan menimba pengalaman China serta meningkatkan kemampuan negara Asia Pasifik dalam menangani wabak COVID-19 dilancarkan di Manila, Filipina pada Jumaat.

Duta China ke Filipina, Huang Xilian berkata, sistem kesihatan di negara-negara membangun menghadapi cabaran amat besar pada masa ini, khususnya dalam mengendalikan sisa perubatan.

Beliau berkata di bawah projek ini, pihak-pihak berkaitan akan menghulurkan kemudahan dan peralatan pengendalian sisa perubatan kepada Filipina selain menawarkan kursus latihan.

“Setakat ini, China telah menyumbang vaksin, barang pencegahan dan kawalan wabak serta menghantar kumpulan pakar perubatan.

“Diharapkan projek bantuan ini dapat membantu Filipina meningkatkan kemampuan pengurusan sisa perubatan dan menangani wabak dengan lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu Menteri Kesihatan Filipina, Francisco Duque berkata, sistem kesihatan semakin terbeban berikutan penularan COVID-19 di negara ini.

“Terima kasih kepada kerajaan China dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang menghulurkan bantuan, berkongsi teknologi dan pengalaman bagi membantu Filipina memerangi wabak ketika saat sukar ini,” katanya.

Menurut wakil UNDP ke Filipina, Ramachandran projek ini akan membantu Filipina membaiki sistem pengurusan sisa perubatan serta meningkatkan kemampuan menghadapi wabak.

Beliau turut merakam penghargaan kepada China atas sokongan dan sumbangan yang diberikan menerusi projek itu. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This