
COVID-19: 115 tahanan DTI Sepang tunggu keputusan kedua sebelum dihantar pulang
PUTRAJAYA, 10 Julai — Seramai 115 warga asing di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang sedang menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 kali kedua sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian saringan kedua ini adalah antara syarat sebelum penghantaran pulang orang kena tahan (OKT).
“Kita dalam proses hantar pulang OKT tapi sebelum hantar pulang kita jalankan saringan. Ini yang kita jalankan iaitu saringan berulang (kedua),” katanya dalam sidang media perkembangan terkini COVID-19 hari ini.
Sehingga hari ini, seramai 1,477 individu telah disaring di DTI Sepang dan 62 kes positif COVID-19 telah dikesan.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak dua kes positif dilaporkan di DTI Bukit Jalil hari ini yang dikesan menerusi saringan kedua sebelum proses penghantaran pulang ke negara asal.
“Kes positif telah asingkan untuk rawatan dalam tempoh dua minggu dan mereka yang terdedah kepada kes positif ini juga telah dikuarantin,” katanya.
–BERNAMA