
COVID-19: Jepun bercadang lanjutkan keadaan separa darurat di 30 wilayah
TOKYO,. Ketika Jepun sedang bergelut untuk menangani lonjakan kes COVID-19 di seluruh negara, pegawai kanan kerajaan pada Isnin berkata 30 daripada 47 wilayah negara itu akan diletakkan di bawah keadaan separa darurat dalam beberapa hari akan datang.
Maklumat itu susulan perbincangan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dengan menteri Kabinet mengenai wilayah-wilayah terbaharu yang meminta untuk diletakkan di bawah langkah kecemasan COVID-19, keputusan rasmi mengenai perkara itu mungkin diumumkan pada Selasa, lapor Xinhua menurut sumber itu.
“Kami akan bertindak dengan langkah yang seimbang berdasarkan sifat strain Omicron dengan meningkatkan aliran prosedur pencegahan, pengesanan dan rawatan awal,” kata Kishida pada sesi jawatankuasa bajet Dewan Rakyat pada Isnin.
Keputusan akhir akan dibuat selepas kerajaan berbincang dengan panel penasihat pakar virus negara, yang akan mengesyorkan kemungkinan membenarkan lebih banyak wilayah mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat seperti di 16 wilayah yang sudahpun melaksanakan langkah darurat pada Isnin.
Tindakan itu dibuat selepas kes COVID-19 di seluruh negara melonjak kepada rekod 54,576 pada Sabtu ketika varian virus Omicron yang sangat mudah berjangkit terus mencetus kebimbangan di seluruh negara.
Keadaan separa darurat membolehkan gabenor dan pegawai wilayah melaksanakan langkah pencegahan COVID-19 yang lebih ketat, seperti meminta kedai makan dan bar ditutup awal dan tidak menghidangkan alkohol, termasuk mengehadkan pengunjung dalam mana-mana acara di ruangan tertutup atau terbuka.
— BERNAMA