COVID-19 : Malaysia catat dua kematian pertama hari ini – @DrAdhamBaba
KUALA LUMPUR, 17 Mac — Malaysia mencatatkan dua kes kematian pertama akibat wabak COVID-19 melibatkan rakyatnya hari ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Kes ke-178 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 34 tahun yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling tempoh hari. Beliau mula mengalami gelaja mulai 5 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 12 Mac setelah dikesan positif COVID-19.
“Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya pada sidang media harian berkaitan wabak itu di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.
Dr Adham berkata kes ke-358 merupakan lelaki berumur 60 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik. Beliau mula mengalami gelaja demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac setelah dikesan positif COVID-19.
“Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke ICU. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini, ” katanya.
Mengulas mengenai kes ke-178, Dr Adham berkata pesakit merupakan ‘pure COVID-19’ iaitu tidak menghidap penyakit lain dan dimasukkan ke ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Beliau terpaksa diberikan bantuan pernafasan menerusi mesin ventilator berikutan tahap kesihatan yang semakin merosot.
Dr Adham berkata sebanyak 120 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 673 kes.
“Berdasarkan siasatan awal, 95 daripada 120 kes baharu itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini, dan 428 daripada 673 kes adalah dari kluster tabligh berkenaan.
“Sehingga kini, sebanyak 12 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Menurut beliau, tujuh lagi kes positif penyakit itu yang dilaporkan sebelum ini telah pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya 49 kes.
Sementara itu, mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai esok hingga 31 Mac, beliau berkata ia adalah tindakan drastik diambil kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.
“Pendekatan ini perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini daripada dijangkiti wabak jangkitan COVID- 19 yang kini telah memasuki gelombang kedua.
“Bagaimanapun, tindakan itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan yang akan terus diberikan oleh KKM di semua fasiliti, termasuk perkhidmatan kesihatan swasta,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai supaya mematuhi segala arahan berkaitan perintah itu seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Adham turut meminta agar semua rakyat Malaysia menjalankan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan Malaysia dalam membendung penularan kejadian COVID-19.
Dalam pada itu, statistik COVID-19 mengikut negeri menunjukkan Selangor mencatat kes paling tinggi iaitu 161 kes; diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (113); Sabah (82); Johor (77); dan Negeri Sembilan 45 kes.
Kedah pula mencatatkan 31 kes; Sarawak (29); Pahang (28); Kelantan (25); Perak dan Pulau Pinang masing-masing 23 kes, Melaka (17); Perlis (8); dan Terengganu (7) dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak empat kes.
— BERNAMA