COVID-19 Naik Lagi : Adakah Rakyat Semakin Leka?

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr Abdul Rashid Abdul Aziz @Dorashid

Kini, sudah genap dua tahun kita berperang melawan pandemik COVID-19. Pelbagai cabaran dan dugaan yang telah kita tempuhi di sepanjang tempoh ini. Tempoh dua tahun ini sepatutnya mampu membuatkan kita menjadi individu yang lebih peka dengan isu berkaitan virus pembunuh ini dan lebih berdisiplin dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Kebenaran untuk merentas negeri dan pembukaan semula industri-industri di Malaysia bukanlah ‘tiket’ yang boleh digunakan untuk kita lupa, lalai dan leka dalam mematuhi SOP ini.

Kita belum menang

Kini, negara telah dikejutkan dengan peningkatan semula kes jangkitan COVID-19. Lebih menyedihkan dan merisaukan, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta yang memerlukan bantuan alat pernafasan juga turut bertambah. Bilangan kemunculan kluster baru COVID-19 juga ikut meningkat.

Walaupun negara telah mencapai tahap vaksinasi yang membolehkan negara mencapai imuniti kelompok, namun masyarakat perlu sedar bahawa mereka masih lagi berisiko untuk mendapat jangkitan dan menjangkiti individu lain sekiranya diri dijangkiti selagi mana mereka tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Ingatlah bahawa kita masih belum menang. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam perkongsian di laman Facebook peribadi beliau pada 19 Oktober lepas mengingatkan agar semua pihak kekal mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan penuh disiplin.

“Setiap individu bertanggungjawab memelihara kesihatan mereka, keluarga, dan masyarakat sekeliling. Inisiatif menjalankan ujian kendiri sangat digalakkan apabila seseorang individu bergejala dan/atau sebelum melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman bagi melindungi orang lain di sekeliling.”Tingkatkan penilaian kendiri.” nasihat beliau.

Jangan sia-siakan perjuangan melawan COVID-19

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, mainkan peranan masing-masing dalam membanteras penularan wabak ini. Jangan pernah ambil mudah dan memandang enteng dengan peringatan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Elakkan bersalaman dan bersentuhan. Selain itu, sentiasa pastikan adanya penjarakan sosial apabila berada di luar rumah atau menghadiri sebarang aktiviti berkumpulan. Aspek pemakaian topeng muka (facial mask) dan penjagaan kebersihan tangan juga haruslah ditambahbaik.

Ingatlah pengorbanan petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus membanting tulang, bersengkang mata dalam mengekang penularan wabak COVID-19. Janganlah disebabkan sikap pentingkan diri sendiri dan sikap acuh tak acuh yang wujud dalam diri kita menyebabkan segala usaha yang telah dilakukan oleh mereka menjadi sia-sia begitu sahaja.

Tanpa kesedaran dan kerjasama dari semua pihak dan rakyat Malaysia, segala usaha dan inisiatif dalam melawan menentang pandemik COVID-19 tidak akan berjaya. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Sekiranya rakyat Malaysia masih tidak bersatu hati, maka kita masih lagi gagal dalam mencegah pandemik COVID-19 ini dari terus merebak. Semoga tagline #KitaJagaKita sentiasa terus tersemat dalam diri setiap individu agar kesedaran untuk menjaga keselamatan dan kesihatan antara satu sama lain akan sentiasa wujud walau dalam apa jua keadaan sekali pun.

— BERNAMA

Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz merupakan Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )