
COVID-19: Pendekatan menyeluruh untuk kekang jangkitan dalam kalangan migran
PUTRAJAYA, 4 Jun — Satu pendekatan menyeluruh diperlukan bagi menyelesaikan dan mencegah jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing termasuk pendatang tanpa izin.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pendekatan seumpama itu memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi dan pihak.
“Apabila kami melihat pekerja asing, kami melihatnya secara menyeluruh dalam mendekati isu ini. Kami berharap untuk menggunakan satu pendekatan melibatkan pelbagai agensi bagi pekerja asing (isu COVID-19).
(Ia melibatkan) keseluruhan kerajaan dan masyarakat, baharulah kami boleh menangani perkara ini. Kami juga mesti melihat kepada langkah pencegahan berkaitan dan penjagaan kebersihan diri juga penting,” kata beliau semasa sidang media harian mengenai COVID-19 di sini hari ini.
— BERNAMA