CPTPP bantu Malaysia raih FDI RM14.9 bilion pada suku ketiga 2023 – Tengku Zafrul

CPTPP bantu Malaysia raih FDI RM14.9 bilion pada suku ketiga 2023 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR,. Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) telah membantu meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara, dengan FDI kumulatif Malaysia melonjak sebanyak RM14.9 bilion mencecah RM914.9 bilion pada akhir suku ketiga (Suku 3) 2023.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata FDI dari Jepun meningkat sebanyak RM4 bilion manakala dari Australia naik sebanyak RM1 bilion berbanding 2022.

Jepun dan Australia kedua-duanya adalah anggota CPTPP.

Tengku Zafrul dalam satu kenyataan semalam berkata penerima terbesar keseluruhan FDI ialah sektor perkhidmatan (50 peratus) diikuti pembuatan (42 peratus).

“Berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), 181 projek baharu bernilai AS$2.94 bilion (AS$1=RM4.61), dengan hampir 11,000 peluang pekerjaan yang berpotensi, direkodkan dari negara-negara CPTPP antara Januari dan September 2023,” katanya.

Dari segi pemudahan perdagangan, Tengku Zafrul berkata, CPTPP telah membolehkan pengeksport dan pengeluar Malaysia menikmati layanan tarif keutamaan melalui sijil asal (CO) CPTPP, yang penggunaannya mencecah 4,482 sijil bernilai kira-kira RM1.58 bilion, untuk tempoh 29 Nov 2022 hingga 31 Okt 2023.

Destinasi eksport utama ialah Jepun, diikuti Mexico, Kanada dan Peru, katanya.

“Berbanding tempoh yang sama pada 2022, jumlah eksport Malaysia ke negara-negara CPTPP bagi tempoh Januari-September 2023 menunjukkan peningkatan dua peratus bagi produk besi dan keluli, dan juga untuk tekstil; manakala eksport produk petroleum meningkat sebanyak 15 peratus.

“Pertumbuhan eksport Malaysia ke negara-negara CPTPP dijangka berkembang dengan pesat apabila negara-negara ini secara beransur-ansur menghapuskan duti,” katanya.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggesa perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya CPTPP, yang meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan mempermudah kepelbagaian manfaat pelbagai hala menerusi beberapa pemboleh utama.

Tengku Zafrul berkata manfaat ini termasuk akses kepada eksport perniagaan dan perkhidmatan profesional Malaysia meliputi undang-undang, kejuruteraan, pencukaian, perakaunan dan seni bina.

“Malahan, terdapat prospek dalam perkhidmatan berkaitan komputer di Australia, Chile dan Mexico; perkhidmatan alam sekitar di Australia, Kanada, New Zealand dan Mexico; pembinaan di New Zealand dan Mexico; dan perkhidmatan kewangan di Peru,” katanya.

Perniagaan dan PKS boleh mendapat maklumat lanjut dengan melayari https://fta.miti.gov.my/index.php/pages/view/tpp_cptpp.

Tengku Zafrul menegaskan mobiliti rentas sempadan kepada profesional dalam kalangan negara CPTPP boleh dipermudah menerusi perjanjian pengiktirafan bersama (MRA).

“Selepas MRA dilaksanakan, prosedur pelesenan dan kelayakan berbeza akan diiktiraf oleh pihak berkuasa berkaitan atau badan perkhidmatan profesional negara CPTPP masing-masing.

“Potensi kerjasama dengan profesional dari negara CPTPP lain boleh memperkukuh kumpulan kepakaran perniagaan, yang membolehkan pemindahan pengetahuan, pembangunan bakat dan melahirkan tenaga kerja Malaysia yang pelbagai,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata peruntukan e-dagang CPTPP mengurangkan halangan perdagangan, membolehkan perniagaan dan pengguna di Malaysia meraih manfaat daripada akses lebih mudah kepada perdagangan dalam talian bagi barangan dan perkhidmatan dengan negara CPTPP lain.

Ini dipermudah dengan cara menggalakkan dan membolehkan aliran data rentas sempadan kepada perniagaan dan PKS di negara anggota CPTPP, katanya.

“Pembolehan ini termasuk komitmen negara-negara CPTPP untuk tidak mengenakan ‘keperluan penyetempatan’ yang akan memaksa perniagaan membina pusat storan data atau menggunakan kemudahan pengkomputeran tempatan dalam pasaran CPTPP; komitmen untuk tidak menghalang syarikat daripada menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan dan penyimpanan data kepada pasaran CPTPP yang penting dan meluas; dan komitmen terhadap keselamatan siber, serta privasi dan perlindungan pengguna melalui, antara lain, pasukan tindak balas kecemasan komputer nasional setiap negara,” jelasnya.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata peruntukan CPTPP untuk perolehan kerajaan (GP) akan memberikan peluang yang sama kepada perniagaan Malaysia untuk membida projek kerajaan di negara CPTPP lain seperti Mexico, Peru dan Vietnam.

“Malah, di bawah peruntukan GP, ambang permulaan Malaysia untuk perkhidmatan pembinaan adalah antara yang tertinggi berbanding pihak-pihak CPTPP lain. Malaysia juga diberikan satu daripada tempoh peralihan yang paling lama untuk perkhidmatan pembinaan,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, CPTPP juga mengiktiraf kepentingan PKS melalui dua inisiatif kritikal, iaitu perkongsian maklumat, dan membolehkan PKS memanfaatkan manfaat dan peluang daripada CPTPP, dengan tujuan untuk menyepadukan mereka ke dalam rantaian bekalan global.

“MITI kini sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menambah baik pengumpulan data PKS.

“Ini adalah satu langkah penting bagi membolehkan kerajaan membina mekanisme sokongan tersuai agar PKS Malaysia dapat menyertai rantaian bekalan global dengan lancar dan untuk memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus PKS Malaysia mendigitalkan perniagaan mereka, yang merupakan salah satu matlamat Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Peruntukan CPTPP lain yang sama pentingnya dalam memudahkan pertumbuhan PKS termasuk perlindungan ke atas hak harta intelek (IPR) melalui piawaian perlindungan dan penguatkuasaan serantau di seluruh rantau Asia Pasifik.

Peruntukan itu juga termasuk membantu PKS menangani halangan dalam penggunaan e-dagang dan menggalakkan perniagaan untuk secara sukarela menerima guna prinsip dan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memastikan industri yang mampan dan berdaya tahan.

Bagi tujuan ini, katanya, Rangka Kerja ESG Industri Kebangsaan (Rangka Kerja i-ESG) MITI yang baru dilancarkan akan menyokong perniagaan dan PKS Malaysia untuk menyepadukan prinsip ESG secara lancar dan sistematik ke dalam operasi mereka.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata negara-negara CPTPP juga komited untuk membasmi rasuah dalam perdagangan dan pelaburan antarabangsa, memberi jaminan yang lebih besar kepada perniagaan dan PKS bahawa pergerakan barangan dan perkhidmatan yang lancar dalam kalangan negara CPTPP boleh dilaksanakan tanpa sebarang kos tersembunyi.

Satu lagi manfaat penting CPTPP adalah pembinaan kapasiti, khususnya dalam sektor pertanian, perindustrian dan perkhidmatan, serta dalam menggalakkan pendidikan, budaya dan kesaksamaan jantina.

“Sebagai contoh, dengan memupuk hubungan antara perniagaan yang berbeza dalam industri yang sama atau rantaian bekalan daripada negara CPTPP yang dikenal pasti, industri dan PKS boleh belajar daripada satu sama lain, dan berkongsi amalan terbaik.

“Usaha-usaha kerjasama juga boleh memudahkan PKS bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tengku Zafrul berkata anggota CPTPP sedang memulakan semakan perjanjian bagi memastikan keadaan yang relevan, dengan mengambil kira perkembangan ekonomi, ESG dan geopolitik semasa di peringkat global.

“MITI akan bekerjasama rapat dengan negara-negara CPTPP yang lain untuk menangani isu-isu seperti daya tahan rantaian bekalan, penyahkarbonan, teknologi baru muncul, dan kecerdasan buatan, di samping mengukuhkan pelaksanaan dasar dan peraturan, membangunkan keupayaan industri, dan meningkatkan promosi eksport.

“Kementerian ini akan sentiasa memastikan kepentingan Malaysia terus dipertingkat dan dilindungi melalui keanggotaan negara dalam semua perjanjian perdagangan bebas,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)