
CTOS mahu tingkatkan 39.1 peratus pegangan dalam RAM melalui pembelian saham bernilai RM51.3 juta
KUALA LUMPUR,. CTOS Digital Bhd bercadang meningkatkan pegangannya dalam RAM Holdings Bhd kepada kira-kira 39.1 peratus dengan memperoleh 19.9 peratus kepentingan ekuiti dalam penyedia perkhidmatan penarafan kredit pada harga RM51.3 juta.
Ia juga bercadang untuk membeli sehingga 30.9 peratus lagi pegangan dalam RAM Holdings pada harga tidak lebih daripada RM28.50 sesaham, atau sehingga RM88 juta secara tunai.
Pembelian tambahan itu akan dibuat lebih 12 bulan selepas mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan bagi tujuan itu, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Apabila cadangan itu selesai, CTOS Digital berkata, ia mungkin memegang sehingga 7 juta saham RAM, yang mewakili 70.0 peratus dalam kepentingan ekuiti.
Syarikat laporan kredit itu berkata ia menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat untuk membeli 19.9 peratus kepentingan daripada Oscar Matrix Sdn Bhd semalam.
Pertimbangan pembelian itu akan dibiayai oleh gabungan pinjaman bank dan/atau dana yang dijana secara dalaman, yang bahagian tepatnya akan ditentukan kemudian, katanya.
“Pada tarikh terbaharu yang boleh dilaksanakan, syarikat sedang berbincang dengan bakal penjual mengenai cadangan pemerolehan tambahan RAM tetapi masih belum membuat sebarang perjanjian muktamad dengan mana-mana daripada mereka.
“Syarikat akan memastikan saham RAM tidak akan diperoleh daripada mana-mana pengarah dan/atau pemegang saham utama CTOS Digital dan/atau orang yang berkaitan dengannya melainkan kebenaran diminta terlebih dahulu daripada pemegang saham syarikat itu,” katanya.
Antara Julai 2021 dan Mei 2022, CTOS Digital memeterai perjanjian pembelian saham dengan CIMB Bank Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, OCBC Bank (M) Bhd, Affin Bank Bhd; Affin Hwang Investment Bank Bhd, dan Alliance Investment Bank Bhd untuk memperoleh 19.2 peratus pegangan dalam RAM Holdings pada harga RM49.6 juta, atau purata kira-kira RM25.82 sesaham.
— BERNAMA