
Dagangan luar China terus kukuh walaupun berdepan cabaran global
BEIJING,. Sektor perdagangan luar China terus mengekalkan pertumbuhan stabil pada April meskipun berdepan perubahan drastik dalam persekitaran ekonomi global.
Menurut data Biro Statistik Negara (NBS) dari Januari hingga April, nilai import dan eksport barangan mencatat kenaikan sebanyak 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Bagi April sahaja, jumlah import dan eksport barangan meningkat 5.6 peratus, dengan eksport terus mencatat pertumbuhan kukuh iaitu pada kadar 9.3 peratus.
Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, jumlah import dan eksport antara China dengan anggota ASEAN serta negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) masing-masing menokok 9.2 peratus dan 3.9 peratus.
Jurucakap NBS Fu Linghui berkata, pengurangan tarif yang signifikan antara China dan Amerika Syarikat (AS) akan membantu menjana pertumbuhan perdagangan kedua-dua negara, selain menyediakan persekitaran kondusif bagi pemulihan ekonomi dunia.
“Trend kerjasama antarabangsa demi manfaat bersama tidak akan berubah, begitu juga komitmen China untuk memperluas keterbukaan.
“Usaha China mewujudkan kepelbagaian dagangan luar terus dipergiat dan dasar-dasar yang diperkenal bagi memacu perkembangan sektor berkenaan kini semakin menampakkan hasil,” katanya dalam sidang media di Beijing pada Isnin.
— BERNAMA