KUALA LUMPUR,. Inisiatif Dana Inovasi Media 2.0 menjadi pemangkin penting dalam memperkasakan daya saing syarikat media tempatan, meningkatkan keupaya
KUALA LUMPUR,. Inisiatif Dana Inovasi Media 2.0 menjadi pemangkin penting dalam memperkasakan daya saing syarikat media tempatan, meningkatkan keupayaan teknologi dan memastikan kelangsungan industri mendepani cabaran landskap digital, kata Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM), Tan Sri Nallini Pathmanathan.
Beliau berkata, pengenalan dana itu merupakan langkah tepat pada masanya ketika industri bergelut dengan kepesatan teknologi, penggunaan kecerdasan buatan (AI), persaingan sengit platform digital serta perubahan corak masyarakat dalam mengakses maklumat.
Sehubungan itu, Nallini menyokong ketetapan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang mengingatkan majikan agar syarikat yang menerima dana berkenaan tidak memberhentikan pekerja sewenang-wenangnya.
“Selari dengan perkembangan teknologi AI dan digital, industri media perlu terus memelihara serta melindungi bakat dan tenaga kerja yang membentuk industri itu sendiri.
“Contohnya, hasil kerja pengamal media digunakan oleh sistem AI tetapi wartawan yang menghasilkan kandungan itu tidak diberikan kredit sewajarnya. Oleh itu, peranan manusiawi wartawan tetap penting dalam menyampaikan berita yang sahih,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Media Chinese International Limited (MCIL) (Malaysia), Datuk Kuik Cheng Kang berpandangan, penyediaan dana tersebut membuktikan iltizam kerajaan dalam membantu media merangka hala tuju baharu, di samping melindungi hak serta kebajikan pengamal media.
Beliau mengakui, media arus perdana kini berada dalam fasa transformasi yang amat mencabar berikutan hasil perniagaan digital masih belum mampu menampung kos operasi keseluruhan.
Beliau berkata, perbelanjaan yang tinggi diperlukan bagi mengekalkan bilik berita yang lengkap, barisan editorial profesional serta rangkaian liputan di seluruh negara.
“Hakikatnya, tanpa pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran, amat sukar bagi sesebuah organisasi media untuk terus bertahan dengan hanya bergantung pada pendapatan digital. Kenyataan ini mungkin kedengaran pahit, tetapi inilah realiti yang perlu dihadapi oleh pengusaha media.
“Sudah tentu kita tidak mahu berlaku pemberhentian pekerja, apatah lagi melihat pengamal media kehilangan mata pencarian akibat transformasi industri, namun jika organisasi itu sendiri gagal untuk terus beroperasi secara mampan bagaimana kebajikan pekerjanya dapat terus dilindungi,” katanya.
Justeru, Kuik menyarankan kerajaan turut memikirkan kaedah bagi membantu syarikat media membangunkan model perniagaan mampan supaya industri terus berupaya mengekalkan bakat terbaik serta menghasilkan kewartawanan yang bertanggungjawab.
“Zaman boleh mengubah cara media menjalankan perniagaan dan teknologi boleh mengubah saluran berita, tetapi keperluan masyarakat terhadap maklumat yang benar, pertimbangan profesional serta fungsi media sebagai kuasa semak dan imbang tidak seharusnya terhakis,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarang Malaysia Tribune, Sharaimei Shaik Ahmedullah menyifatkan dana berkenaan sebagai talian sokongan penting untuk memperkukuh operasi penerbitan digital dan mempertingkat kemahiran tenaga kerja.
Beliau berkata, Malaysia Tribune yang sebelum ini menerima manfaat fasa pertama Dana Inovasi telah memperuntukkan pembiayaan tersebut untuk meningkatkan kecekapan operasi portal serta memperkukuh daya saing platform digital mereka.
“Secara keseluruhan, Dana Inovasi Media berpotensi membantu Malaysia Tribune meningkatkan keupayaan organisasi dari aspek teknologi, sumber manusia dan inovasi kandungan, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam landskap media digital yang semakin kompetitif,” katanya.
Mengulas mengenai syarat pengekalan pekerja, Sharaimei menyambut baik peringatan menteri berkenaan demi memastikan kebajikan warga kerja media kekal terpelihara seiring suntikan bantuan daripada kerajaan.
Jumaat lepas, Fahmi mengumumkan peruntukan RM30 juta di bawah Dana Inovasi Media 2.0 bagi meneruskan usaha memperkasa industri media tempatan yang merangkumi aspek pendigitalan, pembangunan bakat dan penerapan teknologi baharu seperti AI.
Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan daripada Dana Inovasi Media yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Dana Inovasi Media 2.0 menawarkan lima skop pembiayaan iaitu latihan pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan, perkakasan dan kemudahan sokongan, penyelidikan dan pembangunan kandungan, serta skop baharu bagi langganan perkhidmatan berita dan kandungan media.
Permohonan bagi dana berkenaan dibuka mulai semalam hingga 14 Nov, menerusi laman sesawang rasmi https://danainovasimedia.komunikasi.gov.my/.
— BERNAMA

