
Dasar awam bendung rasuah perlu digubal – Akhbar
KUALA LUMPUR,. Dasar awam yang inovatif bagi membendung perlakuan rasuah perlu digubal, melihat kepada penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2020 (CPI) baru-baru ini.
Pemegang kursi profesor di Institut Jenayah & Kriminologi, HELP University Datuk Seri Akhbar Satar berkata penurunan dari segi penarafan ini jelas menggambarkan kelemahan kehendak politik dan usaha-usaha anti-rasuah bagi menangani permasalahan ini.
“Kes-kes rasuah berprofil tinggi dan jenayah ekonomi yang merangkumi kegiatan penyeludupan yang berleluasa turut memburukkan persepsi bahawa wujud rasuah peringkat tertinggi di dalam sektor awam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut laporan CPI yang terbaharu, Malaysia yang sebelum ini berada di tangga ke-57, jatuh enam anak tangga kepada 51. CPI merupakan indeks yang dikeluarkan secara tahunan oleh Transparancy International berpangkalan di Berlin sejak 1995 yang memberi penarafan ke atas negara berdasarkan tahap persepsi rasuah di dalam sektor awam.
Akhbar yang juga bekas presiden Transparency International Malaysia, berkata pembaharuan dasar dan undang-undang lebih baik perlu diadakan bagi memastikan mereka yang terlibat tidak berterusan melakukannya.
Beliau yang juga Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia berkata amalan rasuah ini menyumbang kepada rantaian pelbagai masalah besar negara, walaupun ia bermula hanya dengan penyeludupan rokok dan kegagalan penguatkuasa menjalankan tanggungjawab, mengalih pandangan mereka bagi memudah cara penjenayah.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah sindiket penyeludupan rokok dan terrorisme adalah saling berkait. Ekonomi bawah tanah ini adalah ancaman kepada ekonomi dan kedaulatan negara.
“Duit besar yang dijana daripada dagangan rokok seludup kemudiannya diguna bagi membayar lebih ramai orang yang tidak beretika bagi membantu kelancaran jenayah itu dan menghalang pegawai penguatkuasa yang jujur serta berdedikasi daripada membanteras pemasalahan penyeludupan rokok secara berkesan,” katanya.
Katanya ini selaras dengan pengumuman Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru ini yang melaporkan bahawa 2,104 kes rampasan oleh pihaknya sepanjang tahun lepas membabitkan rokok seludup bernilai RM74.97 juta, dan cukai atau duti RM661.90 juta.
“Bagaimanapun di sebalik kerja keras dan kegigihan para pegawai kastam, amat jarang kita mendengar pesalah atau sindiket penyeludupan rokok ditangkap, didakwa atau dijatuhkan hukuman. Malah, di sebalik peningkatan dari segi rampasan, tahap rokok seludup kekal tinggi,” ujarnya yang turut bersetuju saranan beberapa penggubal undang-undang agar dasar khusus diperkenalkan supaya harga rokok dijual dalam negara lebih rendah.
— BERNAMA