
Dewan Negara Lulus RUU Media
KUALA LUMPUR, 20 Mac 2025 – Langkah besar ke arah kebebasan media dan profesionalisme kewartawanan di Malaysia telah dicapai hari ini apabila Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 (RUU MMM 2024).
Rang undang-undang ini bertujuan menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMM), sebuah badan yang akan mengawal selia industri media secara autonomi, bebas daripada sebarang campur tangan politik.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, RUU ini akan memberikan kuasa kepada MMM untuk menetapkan standard etika kewartawanan, menangani aduan masyarakat, serta menegakkan integriti dalam industri media.
“Kami mahu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa media di Malaysia akan beroperasi secara telus, bertanggungjawab, dan beretika,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Negara.
Langkah Tegas Dalam Memantau Media
Salah satu peruntukan utama dalam RUU ini adalah kuasa yang diberikan kepada Jawatankuasa MMM untuk menjalankan siasatan terhadap laporan tidak beretika. Jawatankuasa ini boleh menggantung keahlian pihak yang terbukti melanggar etika dan mencadangkan tindakan kepada pihak berkuasa jika pelanggaran dianggap serius.
“Kami mahu memastikan setiap laporan berita yang disiarkan adalah sahih, beretika, dan tidak menjejaskan kepentingan awam,” tambah Teo.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa MMM akan dianggotai oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam industri media bagi memastikan ia berfungsi dengan bebas dan adil.
Peranan Wakil Kerajaan dalam MMM
RUU ini juga menetapkan dua wakil kerajaan dalam lembaga MMM, tetapi peranan mereka lebih kepada pemantauan dan penyelarasan dasar media.
“Mereka bukan sekadar ejen kerajaan tetapi individu yang memahami industri media.
Dengan pelaksanaan undang-undang ini, Malaysia kini bergerak ke arah media yang lebih bebas dan bertanggungjawab, memperkukuh peranan wartawan sebagai penyebar maklumat yang beretika dan profesional.