Di Mana Ada Kandang Ternakan Terlibat Banjir Di Situ GTR Hadir Membantu

Di Mana Ada Kandang Ternakan Terlibat Banjir Di Situ GTR Hadir Membantu

Kuala Lumpur – Jika musibah banjir berlaku di satu-satu kawasan atau negeri kita pasti akan melihat banyak NGO yang akan datang menghulurkan bantuan membantu mangsa banjir tapi siapakah pula yang akan membantu haiwan ternakan kepada mangsa banjir. Persoalan ini terjawab apabila wartawan GerbangPost.com mengikuti sebuah NGO yang fokus membantu penternak dan haiwan ternakan iaitu Kelab Generasi Transformasi Ruminan atau lebih popular dengan panggilan Kelab GTR.

Ketika musibah banjir baru-baru ini yang berlaku di beberapa negeri seperti Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan NGO seperti Kelab GTR ini juga turun ke lokasi “ground zero” bagi menghulurkan bantuan tapi fokus mereka agak unik sedikit kerana fokus kepada haiwan ternakan berbanding NGO kemanusiaan. Kelab GTR ini mempunyai keahlian mencecah hampir 10 ribu ahli di seluruh negara yang terlibat secara langsung sebagai penternak atau perniagaan hiliran berkaitan ruminan. Kelab GTR turun kali ini dengan misi menyampaikan sumbangan dedak ternakan dan juga pemeriksaan kesihatan haiwan ternakan kepada 166 penternak mangsa banjir yang terdiri dari Selangor seramai 73 Penternak, Melaka seramai 22 Penternak, Negeri 9 seramai 7 Penternak dan Pahang seramai 64 Penternak.

Menurut Presiden Kelab GTR, En. Hussain Jaafar kelab ini telah menerima sumbangan 15,500 kg dedak dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk disalurkan kepada penternak mangsa banjir di seluruh negara. Sumbangan dedak ternakan ini disalurkan oleh Kelab GTR melalui wakil di setiap zon yang terlibat iaitu Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Pantai Timun melibatkan seramai 130 sukarelawan ahli Kelab GTR bersama sebuah jentolak dan juga sebuah traktor sumbangan ahli Kelab GTR bermula sejak 24 Disember lalu.

“Kelab GTR amat berbesar hati diberikan amanah oleh Menteri MAFI sendiri bagi menyalurkan bantuan kepada penternak yang terlibat dengan banjir baru-baru ini. Kami telah menggerakkan sukarelawan kelab bagi sama-sama membantu memudahkan urusan penghantaran bantuan kepada penternak terlibat” – Hussain Jaafar, Presiden Kelab GTR.

Usaha yang dilakukan oleh Kelab GTR ini juga menarik minat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sendiri selaku Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk sama-sama turun padang melihat sendiri keadaan kandang ternakan dan bertemu beberapa penternak yang terlibat dengan bencana banjir bagi mengetahui keadaan sebenar.

Dalam misi kali ini juga pihak kelab telah berkoleborasi dengan pihak UPM dari Fakulti Perubatan Veterinar yang diketuai oleh Dr Rozaihan Mansor, Professor Madya Fakulti Perubatan Veterinar, UPM yang turut membawa 20 pelajar-pelajar sukarelawan beliau membuat pemeriksaan kesihatan terhadap haiwan di kandang secara percuma.

Disamping itu juga Kelab GTR bersama pihak IKHLAS.com sebagai Rakan Strategik turut turun bersama menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas makanan kepada penternak yang terlibat dengan banjir kali ini bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung mangsa banjir. Menurut Mohd Nor Effendi Bin Yahya, Ketua Komersil IKHLAS.com sangat berbesar hati dapat berkoleborasi bersama Kelab GTR dalam membantu mangsa banjir dan misi kemanusiaan yang dijalankan kelab itu.

Pihak Kelab GTR juga amat mengalu-alukan jika ada syarikat-syarikat korporat atau individu yang ingin turut sama menyumbang dalam membantu penternak yang terkesan akibat banjir ini.

– Joy Reyzal

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)