
Dua letupan gegar kem PBB di Mali
GAO: Dua letupan menggegarkan beberapa kem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bandar utara Gao di Mali kelmarin, menyebabkan kerosakan namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan, menurut wartawan AFP di tempat kejadian.
Letupan pada awal pagi itu telah menggegarkan beberapa berek misi pengaman PBB di Mali, dikenali sebagai Misi Penstabilan Bersepadu Pelbagai Dimensi PBB (MINUSMA), memaksa penduduknya untuk melarikan diri ke tempat perlindungan selama dua jam.
Pihak tentera Perancis melaporkan hanya kerosakan harta benda, namun tidak maklumat mengenai dalang di sebalik letupan itu. Jurucakap MINUSMA Myriam Dessables memberitahu AFP bahawa dua lagi kem di utara disasarkan serangan mortar kelmarin tetapi tidak mengalami sebarang kerosakan.
Keganasan terkini di negara Afrika Barat itu muncul selepas 31 orang terbunuh dalam satu serangan pada Jumaat lepas disyaki angkara kumpulan pelampau berhampiran pekan pusat Bandiagara. Mali berusaha mengawal keganasan Islamis yang mula meletus di wilayah utara pada 2012 yang telah meragut ribuan nyawa orang awam dan anggota tentera.
Di sebalik kehadiran ribuan anggota tentera Perancis dan PBB, konflik tersebut terus membelenggu tengah Mali dan merebak ke negara jiran Burkina Faso dan Niger. Perancis, bekas kuasa koloni di Mali, telah menyatakan ia akan mengurangkan jumlah anggota tenteranya di Sahel.
Ia turut menyatakan ia sedang merancang untuk memindahkan pasukan tentera dari Kidal, Tessalit dan Timbuktu ke Gao dan Menaka agar lebih hampir dengan zon pergolakan ‘tiga sempadan’ berhampiran Burkina Faso dan Niger.
– Agensi