ERP masih ada dana – PERKESO

ERP masih ada dana – PERKESO

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyatakan mesej yang dimuat naik di laman Twitter mengenai Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dihentikan kerana kekurangan dana adalah tidak benar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini, PERKESO berkata, mesej itu bukan gambaran sebenar mengenai status bantuan ERP.

Katanya, Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Kerajaan pada 16 Mac 2020, ERP diperkenalkan bagi mengurangkan beban kewangan majikan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kerajaan memperuntukkan RM120 juta untuk program itu yang membabitkan gabungan dana sebanyak RM60 juta daripada kerajaan dan RM60 juta daripada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO.

“Bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan itu bertujuan membantu pekerja yang menerima notis cuti tanpa gaji. Bantuan dibayar kepada pekerja melalui majikan masing-masing,” katanya.

Menurut PERKESO, sehingga 1 Mei 2020, PERKESO menerima sebanyak 27,222 permohonan daripada majikan yang membabitkan seramai 230,652 pekerja.

Katanya, dana sebanyak RM120 juta itu mengambilkira bantuan kewangan untuk tempoh sebulan bagi 200,000 pekerja.

Ketika ini, PERKESO masih memproses permohonan untuk ERP, selain mengagihkan dana kepada permohonan yang diluluskan, berdasarkan syarat yang telah ditetapkan.

“Bantuan ERP masih diteruskan dan PERKESO memberi jaminan bahawa permohonan yang dibuat sehingga 27 April 2020 dan diluluskan, layak untuk terus menikmati bantuan kewangan ini,” katanya.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )