FAMA Pastikan Bekalan Kelapa Stabil Menjelang Ramadan

FAMA Pastikan Bekalan Kelapa Stabil Menjelang Ramadan

Johor Bahru, 17 Februari 2025 – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bahawa bekalan kelapa bagi persiapan Ramadan mencukupi, hasil langkah intervensi yang telah diambil bagi menstabilkan pasaran.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Sekuriti Makanan dan Operasi), Shahrizan Sudiman, pihaknya telah mengambil tindakan mendapatkan 640 metrik tan kelapa sebulan dari Indonesia, Sabah, dan Sarawak untuk memenuhi permintaan tempatan.

“Bekalan dari Indonesia sudah mula masuk sejak akhir tahun lalu, manakala penghantaran dari Sabah dan Sarawak akan bermula pada 20 Februari,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Pasar Tani Peringkat Negeri Johor hari ini.

Kelantan Antara Negeri Paling Terjejas
Shahrizan memaklumkan bahawa bekalan kelapa di Malaysia mengalami kekurangan sejak Julai tahun lalu, dengan negeri pantai timur seperti Kelantan paling terkesan kerana permintaan tinggi.

“Negeri-negeri pantai timur memerlukan lebih banyak kelapa, dan gangguan pengeluaran akibat tanaman melawas telah menyebabkan kekurangan bekalan. Namun, kita telah mengambil langkah memastikan bekalan kembali stabil,” katanya.

Bagi mengatasi masalah ini, FAMA juga menjalinkan kerjasama dengan pengusaha dan pemborong kelapa tempatan untuk memastikan kelangsungan bekalan sepanjang Ramadan.

Pasar Tani Sambut Ulang Tahun ke-40 dengan Jualan Istimewa
Bersempena ulang tahun ke-40 Pasar Tani, FAMA turut mengadakan Jualan ‘Happy Hour’ dan Jualan Kasih Johor, bertempat di Pasar Tani Kekal Permas Jaya.

Shahrizan turut berkongsi bahawa Pasar Tani pertama diperkenalkan pada tahun 1985 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika beliau berkhidmat sebagai Menteri Pertanian, dan lokasi pertama pasar tani ini adalah di Tampoi, Johor Bahru.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )