FCoEE PERKASA PELAJAR ASNAF DALAM BIDANG AI, SAINS DAN TEKNOLOGI

HomeFeaturedBerita Semasa

FCoEE PERKASA PELAJAR ASNAF DALAM BIDANG AI, SAINS DAN TEKNOLOGI

MEDAN,. Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) memperkasa pelajar asnaf di Perlis dengan ilmu dan kemahiran berkaitan kecerdasan buatan (A

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah
UNICEF salur bantuan EUR2.7 juta untuk kanak-kanak di Syria
ASEAN sasar kerjasama lebih kukuh dengan Bank Dunia dalam jana pekerjaan

MEDAN,. Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) memperkasa pelajar asnaf di Perlis dengan ilmu dan kemahiran berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta sains dan teknologi dalam usaha memupuk minat mereka dalam bidang itu pada peringkat sekolah lagi.

Pakar Rujuk Penyelidikan dan Pengantarabangsaan FCoEE Dr Bibi Noraini Mohd Yusuf berkata hampir tiga tahun FCoEE aktif melaksanakan pelbagai program termasuk bengkel melibatkan kerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT), seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Bibi Noraini yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP berkata dalam tempoh itu seramai 407 pelajar sekolah di Perlis memperoleh manfaat menerusi penganjuran program dan bengkel AI serta sains dan teknologi.

“Ini untuk memupuk minat pelajar asnaf dalam bidang teknologi dan AI. Menerusi kerjasama ini pakar dari IPT dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran serta ilmu bersama pelajar asnaf di Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia pada penganjuran International Conference on Next-Generation Technologies 2026 (NEXT-D) oleh FCoEE di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Medan, Indonesia, hari ini.

Turut hadir pada NEXT-D yang menghimpunkan 200 penyelidik terkemuka, pakar industri dan pelajar pascasiswazah dari pelbagai negara bermula semalam hingga esok itu, ialah Pengerusi Eksekutif FCoEE Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Bibi Noraini juga antara speaker pada penganjuran NEXT-D itu, dengan membawa tajuk Reimagining Zakat For The Digital Age: The FCoEE AI-Driven Human Capital Empowerment and Development (AHEAD) Framework For Perlis Asnaf.

Mengulas lanjut, Bibi Noraini berkata usaha itu memberikan hasil positif apabila pelajar asnaf dilihat semakin berminat dan bermotivasi untuk menyertai pertandingan inovasi serta robotik yang dilaksanakan, dengan ada antaranya menjadi johan dalam pertandingan inovasi setelah menggunakan ilmu dikongsi menerusi bengkel penganjuran FCoEE.

Beliau berkata usaha FCoEE itu antaranya sebagai persediaan untuk memenuhi pasaran kerja di negara ini pada masa hadapan yang menuntut kepakaran dalam bidang AI serta sains dan teknologi.

“Pada masa hadapan FCoEE akan meneruskan lagi pelbagai program berkaitan AI dan teknologi kepada pelajar dan asnaf serta memberikan pendedahan kepada ibu bapa kenapa anak mereka perlu menceburi bidang ini, terutama untuk memenuhi pasaran kerja kita,” katanya.

Bibi Noraini berkata Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui FCoEE memperuntuk agihan bersesuaian bagi pelaksanaan program pemerkasaan asnaf di Perlis dalam bidang itu supaya mereka tidak ketinggalan terutama pada era digital yang begitu berkembang pesat kini.

— BERNAMA