
Felda hantar dokumen tawaran bagi pelan penyusunan semula FGV, tarikh tutup 7 Julai
KUALA LUMPUR,. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memaklumkan pihaknya telah menghantar dokumen tawaran untuk rancangan penyusunan semula FGV Holdings Bhd dengan tarikh tutup tawaran pada 5 petang, Isnin, 7 Julai 2025, melainkan tarikh itu dilanjutkan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini Felda berkata tawaran itu yang dibuat melalui Maybank Investment Bank akan terus dibuka untuk diterima sehingga tarikh tutup pertama atau tarikh kemudiannya yang mungkin ditetapkan dan diumumkan oleh Maybank bagi pihak Felda.
Tawaran berkenaan adalah sebahagian daripada tawaran pengambilalihan tanpa syarat secara sukarela oleh Felda untuk memiliki semua baki saham FGV pada harga RM1.30 sesaham.
Walaupun memegang 82.34 peratus kepentingan secara kolektif melalui Felda dan anak syarikatnya Felda Holdings Company Sdn Bhd, Felda berkata ia mempunyai pengaruh yang terhad ke atas pengurusan FGV memandangkan ia tidak menguasai lembaga pengarah.
“Setelah langkah penyusunan semula ini berjaya, Felda akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kewangan kumpulan FGV dengan memperkemas operasi perladangan huluan dan hilirannya.
“Sehubungan itu, Felda menawarkan peluang kepada pemegang saham untuk merealisasikan pelaburan dalam saham tawaran secara tunai pada harga tawaran, mewakili premium 9.91 peratus berbanding harga pasaran purata berwajaran volum bagi enam bulan sebanyak RM1.1828 pada tarikh boleh laksana yang terkini,” katanya.
Tawaran terkini yang dilancarkan pada 26 Mei pada harga RM1.30 sesaham itu mencerminkan usaha terdahulu Felda yang tidak berjaya dalam usaha penyusunan semula FGV pada 2020.
Pada tahun berkenaan, Felda memulakan tawaran pengambilalihan mandatori selepas meningkatkan pegangan sahamnya dalam FGV daripada 33.66 peratus melalui pembelian saham daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah dengan nilai RM658 juta.
FGV yang mula disenaraikan pada 2012 pada harga RM4.55 sesaham telah mengumpul RM10.5 bilion dalam satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia.
Bagaimanapun, harga sahamnya telah merosot dengan ketara sejak daripada itu, yang mendorong kepada usaha berulang kali bagi penyusunan semula itu.
— BERNAMA