
Giroud, Alonso julang Chelsea
LONDON,. Gol Olivier Giroud dan Marcos Alonso membantu Chelsea meraih kemenangan 2-1 ke atas Tottenham sekali gus mengukuhkan cengkaman The Blues di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.
Kemenangan itu yang keenam buat Chelsea daripada 14 perlawanan liga di laman sendiri musim ini dan mereka kekal berada di tangga keempat – yang menyediakan tempat ke Liga Juara-Juara – dengan 44 mata daripada 27 perlawanan, empat mata mengatasi pencabar itu yang berada di tangga kelima.
Giroud yang membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama sejak November, meledak jaringan di laman sendiri, Stamford Bridge, pada minit ke-15.
Alonso yang kurang mendapat tempat di bawah kendalian pengendali Frank Lampard kemudian menggandakan jaringan tiga minit selepas babak kedua bersambung.
Tottenham meraih jaringan sagu hati menerusi Antonio Rudiger yang menjaringkan gol sendiri, namun tuan rumah layak meraih kemenangan sekali gus membantu Lampard mengecap keputusan lebih manis mengatasi bekas pengendali Chelsea, Jose Mourinho buat kali kedua musim ini selepas menewaskan Spurs 2-0, Disember lalu.
Tottenham mengunjungi laman lawan dengan membawa motivasi kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut bagi membolehkan mereka berganjak ke atas seteru dari London itu.
Namun, kecederaan penyerang Harry Kane dan Son Heung-min menyaksikan jentera serangan mereka tumpul. – Reuters